20 Tahun Berlalu, Sheila On 7 Masih Digilai Peminat Malaysia

Sheila On 7
KONSERT ulang tahun ke-20 band popular dari Indonesia, Sheila On 7 (So7) berlangsung meriah dengan kehadiran 8,000 peminat setia mereka.

Ia diadakan dalam Konsert Teman, Sahabat & Cintaku yang berlangsung di StarXpo Hall, Kenanga Fashion City Mall, Kuala Lumpur, pada Ahad lalu.

Walaupun sudah dua dekad berkecimpung dalam bidang seni suara, band dianggotai Duta, Eross, Adam dan Brian ini masih kekal relevan dan terus menyinar seperti zaman kegemilangan mereka pada awal tahun 2000.


Duta and the gang membuka tirai konsert tepat pukul 9.30 malam dengan Pria Terhebat yang disorak hebat daripada peminat-peminat yang sudah tidak sabar menyaksikan persembahan band idola mereka.

Membesar dengan lagu-lagu So7, peminat turut sama sing along dengan seleksi lagu band yang berasal dari Jogjakarta itu.

Antaranya ialah Bila Kau Tak Di Sampingku, Sephia, Melompat Lebih Tinggi, Seberapa Pantas, Betapa, Pria Kesepian, Hujan Turun, Lapang Dada dan Sebuah Kisah Klasik.

Duta, vokalis.
Kehebatan vokal Duta atau nama sebenarnya, Akhdiyat Duta Modjo tidak perlu dipertikaikan lagi dan semuanya disampaikan cukup sempurna oleh beliau dengan iringan gitaris handal, Eross dan Adam dan ledakan drum ‘berbisa’ Brian.

Stamina vokalis berusia 36 tahun itu wajar dipuji kerana tiada satu saat pun kedengaran vokalnya sumbang atau out of tune.
Eross, gitaris.
Konsert yang berlangsung selama dua jam itu dilabuhkan dengan lagu berhantu yang memperkenalkan So7 di persada seni iaitu Dan yang mendapat tepukan gemuruh daripada peminat yang turut datang dari Brunei, Indonesia dan Singapura.

Turut kelihatan dalam konsert itu ialah barisan selebriti tempatan antaranya Nana Mahazan, Youk Bunkface, Yasmin Hani, penyampai radio, Ira Mohd. Amin dan hos program Semanis Fondant, Shalma Ainaa.
Adam, bassist.
Sheila On 7 Live Concert in Malaysia 2016 dianjurkan Mawlaya Network Sdn Bhd.

Sejak ditubuhkan pada 6 Mei 1996, So7 telah menghasilkan sebanyak sembilan buah album iaitu Sheila On 7 (1999), Kisah Klasik Untuk Masa Depan (2000), Anugerah Terindah Yang Pernah Ku Miliki (2000), 07 Des (2002), Pria Terhebat (2004), 507 (2006), Menentukan Arah (2008), Berlayar (2011) dan Musim Yang Baik (2014).

Brian, drummer.
Pada konsert itu juga, penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Noh Salleh, Ristoe Ibu Band dan Nadira Adnan. –Kedahnews.com