31 Kes Bocor Maklumat, Rahsia Rasmi Kerajaan Dari 2010 – 2015


KUALA LUMPUR – Sebanyak 31 kes kebocoran maklumat rasmi dan rahsia kerajaan direkodkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dari tahun 2010 hingga 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan telah menyediakan kerangka dasar bagi menangani isu ketirisan maklumat kerajaan dan kaedah mengatasinya bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“Untuk tujuan itu, kerajaan telah mengenal pasti tiga elemen penting iaitu elemen manusia, teknologi dan proses yang perlu ditingkatkan bagi menangani dan membendung isu kebocoran maklumat terperingkat,” katanya.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) berhubung kes kebocoran maklumat sulit kerajaan dalam tempoh lima tahun sejak 2010 dan rancangan kerajaan dalam menangani isu itu.

Kepada satu soalan lain, Azalina berkata bagi tempoh 2011 hingga 2015, terdapat 15 individu yang telah disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Daripada jumlah itu katanya, empat individu telah dipertuduh di mahkamah untuk kesalahan tersebut.

“Di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, mana-mana individu yang didapati membocorkan sesuatu rahsia rasmi, kod, isyarat timbal atau kata laluan rasmi yang rahsia, boleh dikenakan hukuman pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun,” katanya.

Beliau menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang bertanyakan jumlah individu serta tindakan yang telah diambil oleh Jabatan Peguam Negara terhadap individu yang telah membocorkan rahsia negara di bawah Akta Rahsia Rasmi untuk tempoh masa lima tahun yang lalu. – BERNAMA