39 Kucing Jadi Mangsa Penderaan Kejam Warga Emas


SINGAPURA – Dua daripada 39 ekor kucing yang berjaya diselamatkan daripada sebuah rumah pangsa di Yishun bulan lalu sudah mati, menurut Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan Singapura (AVA) pada 16 Mac.

Seekor kucing didapati mati tidak lama selepas mamalia itu dibawa keluar dari unit flat di Blok 207 Yishun Street 21 tersebut, sementara seekor lagi diberikan eutanasia, menurut laporan stesen penyiaran Channel NewsAsia.

Kesemua 39 kucing itu ditemui dalam keadaan tidak sihat dan keadaan fizikal yang tidak begitu baik ketika dirampas pihak AVA dari flat agensi milik pemerintah tersebut, tambah kenyataan penguasa berkenaan lagi.

Haiwan itu dijumpai terkurung di dalam sangkar dengan berlumuran najis dan dikerumuni lipas. Jiran-jiran pemilik unit itu memberitahu bahawa mereka mengadu kepada pihak berkuasa tentang bau busuk dari flat itu.


Dalam kalangan kucing-kucing yang masih hidup itu, 16 ekor daripadanya sedang menjalani rawatan di bawah penyeliaan AVA, sementara 21 lagi dihantar ke klinik-klinik haiwan untuk menjalani pemeriksaan semalam.

Ini bermakna haiwan tersebut kini setapak lebih dekat jaraknya dari tempat asalnya, malah sudah diberikan tempat tinggal yang baharu, menurut laporan terkini dikeluarkan oleh agensi berita MediaCorp Singapura.

Dr. Kitty Huang, salah seorang daripada doktor haiwan yang memeriksa lima kucing itu yang dibawa ke AMK Veterinary Surgery berkata, kucing-kucing tersebut masih lagi “mengalami sedikit dehidrasi dan kebuluran.”

“Anda boleh rasa tulang rusuk dan tulang belakang terkeluar dari dalam tubuhnya sendiri,” kata beliau ketika ditemui oleh pemberita tempatan yang ingin meninjau perkembangan semasa kumpulan haiwan berkenaan.

Kucing-kucing yang dipindahkan oleh pihak berkuasa, 25 Februari. – Foto Diane Leow
Salah seekor kucing tersebut bahkan didapati mempunyai bau nafas uremik, yang menunjukkan ia mungkin menghidapi penyakit ginjal, dan beberapa ekor lagi juga menunjukkan tanda-tanda penyakit flu atau selesema.

Kucing-kucing tersebut diletakkan di bawah pengawasan sehingga Sabtu ini, sebelum para doktor haiwan membuat keputusan sama ada akan memberikan suntikan vaksin atau mengembirikan haiwan-haiwan itu.

Pihak AVA memaklumkan bahawa lagi lima ekor kucing berkenaan sudah pun diletakkan di klinik veterinar Mount Pleasant Central (Whitley), sementara 11 ekor lagi dilaporkan selamat berada di Pusat Haiwan James Tan.

MediaCorp Singapura dalam pada itu difahamkan bahawa suspek, Roslani Ahmad, 63 tahun; boleh dikenakan dakwaan di mahkamah atas kesalahan serius iaitu sengaja mengabaikan kebajikan kucing-kucing tersebut.

Dr. Huang memeriksa kucing yang mempunyai bau nafas uremik. – Foto Xabryna Kek

Namun, Persatuan Kebajikan Kucing Singapura (CWS) menyatakan bahawa ia bukanlah kes memelihara bilangan kucing dalam jumlah banyak yang paling dahsyat pernah didera sebelum didedahkan media republik tersebut.

Pengurus perkhidmatan bantuannya, Laura Ann Meranda, menceritakan tentang satu insiden di Tampines lebih lima tahun lalu yang pernah direkodkan oleh CWS sebagai lebih zalim berbanding kes terbaharu kali ini.

“Terdapat 50 hingga 60 ekor kucing yang dijumpai, ia lebih dahsyat daripada kes ini. Anda fikir kucing-kucing ini (dari Yishun) kelihatan kurus, tetapi kes kucing-kucing itu (di Tampines) jauh sangat kurus kering lagi.


“Namun, lebih setengah daripada kucing-kucing itu berjaya terselamat sebelum dihantar kepada pemilik yang lebih baik,” katanya yang berasa sedih kerana hampir separuh jumlah kucing dalam kes Tampines itu maut.

Sejak Januari tahun ini, CWS sudah mengendalikan sekurang-kurangnya tujuh kes penyimpanan kucing dalam jumlah banyak seperti itu lazimnya pemiliknya kurang berkemampuan dan hanya tinggal dalam unit flat kecil.

“Dalam banyak kes, kami berjaya menanganinya dan terpaksa mengembirikan kucing-kucing ini untuk mengelak pembiakan seterusnya, malah pemiliknya akan mengambil iktibar daripada kejadian itu dan situasinya terkawal.

“Namun, ada kes-kes tertentu yang langsung tidak ada kesudahannya, kerana pemiliknya itu sendiri amat tua dan mungkin mempunyai masalah mental untuk tampil membantu pihak CWS sendiri,” kata Meranda.

Beliau juga berkata pihaknya sedang mengendalikan satu kes pemeliharaan kucing yang terlalu banyak dan agak serupa dilaporkan berlaku di Joo Chiat serta menyamai senario pengabaian haiwan di Yishun dan Tampines.

“Terdapat dilema sama ada CWS mahu melaporkan mereka kepada AVA, kerana mereka amat tua dan tinggal dalam keadaan kotor bersama kucing-kucing itu. Adakah kami harus mendakwa mereka?” ujar Meranda.

Namun katanya, terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua kes berkenaan kerana tertuduh dalam kes di Yishun, Roslani memang sengaja membiarkan kucing-kucing tersebut “menderita dalam sangkar mereka.”


Pihak AVA dalam pada itu menyatakan agensi tersebut dalam proses bekerjasama rapat dengan CWS untuk memberikan tempat tinggal baharu bagi kucing yang sedang dijaganya.

CWS menambah ia sedang merayu dana masyarakat bagi rawatan perubatan untuk 21 ekor kucing dan sedang mencari mereka yang sudi memelihara tujuh ekor kucing yang “terselamat daripada keadaan paling dahsyat itu.”

“Apabila kami cari tempat tinggal baru, kami ada garis panduan bagi mereka yang mahu pelihara kucing ini untuk memastikan haiwan ini diberikan tempat tinggal baik. Kami buat pemeriksaan dan memastikan mereka pemilik berdedikasi,” kata Meranda. – Agensi