Kejadian puting beliung yang dirakamkan dari TH Hotel & Convention Center Alor Setar. - Foto Bernama |
ALOR SETAR - Empat rumah di Taman Wira Mergong rosak di bahagian bumbung selepas dibadai puting beliung kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
Sebelum kejadian, pusaran puting beliung itu dilihat di kawasan Titi Gajah, di sini kira-kira jam 3.18 petang sebelum ia bergerak dan membadai rumah di kawasan perumahan tersebut.
Leow Hua Tai, 61, berkata ketika kejadian beliau sedang menonton televisyen bersama isterinya Chu Kooi Hua, 53, di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat di rumahnya.
"Kejadian dalam jam 3.30 petang dan masa itu saya ingat ada orang bermain mercun di hadapan rumah dan apabila saya keluar, saya nampak bumbung telah diterbangkan tetapi tidak nampak pusaran puting beliung tersebut.
"Nasib baik tiada siapa yang cedera dan beberapa keping atap bumbung juga tidak jatuh di atas kereta," katanya yang ditemui di rumahnya.
Sementara itu, Mohammad Najmi Mazelan, 20, yang merupakan pemilik gerai minuman yang terletak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong berkata, gerai miliknya yang baharu diusahakan sebulan lepas turut terkena tempias pusaran puting beliung berkenaan.
"Masa kejadian kami sedang melayan seorang pelanggan sebelum secara tiba-tiba khemah terangkat dan kami memang tidak perasan kerana tiada bunyi angin kuat.
"Pusaran itu tinggi dan berwarna hitam dan ia lalu di kawasan kami berniaga dalam tempoh 10 saat sahaja. Selepas melalui khemah kami, pusaran itu terus hilang.
"Saya bersyukur kerana kami dan pelanggan yang berada di kawasan berhampiran tidak cedera manakala peralatan membuat air hanya mengalami kerosakan kecil sahaja," katanya. -Bernama