48 Saman Terhadap Penunggang Motosikal Remaja Di Taiping

Gambar Hiasan
TAIPING – Sebanyak 48 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal remaja atas pelbagai kesalahan dalam operasi cegah lumba haram di kawasan Taman Tasek dan Jalan Taiping-Kamunting di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harrith Kam Abdullah berkata operasi selama lima jam yang bermula pada pukul 1 pagi itu disertai seorang pegawai dan 10 anggota trafik.

Beliau berkata kumpulan remaja yang berumur antara 16 hingga 19 tahun itu dikenakan saman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dalam operasi itu dua buah motosikal turut disita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Harrith Kam berkata operasi itu bertujuan menyedarkan orang ramai kegiatan lumba haram yang boleh membahayakan nyawa. – BERNAMA