ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Vietnam dalam serbuan berasingan menerusi ‘Ops Ikrar’ di Sungai Petani, semalam.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata pegawainya yang menjalankan pemeriksaan di dua lokasi premis rumah sewa di Sungai Petani pada pukul 1 pagi menahan enam lelaki serta seorang wanita Vietnam yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.
“Pemeriksaan telah dijalankan di dua lokasi premis rumah sewa di Bandar Puteri Jaya dan semasa pemeriksaan ada yang cuba melarikan diri selain menyorok di dalam almari dan bahagian atas siling rumah, namun berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mohd Shahrir berkata kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA