Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
PUTRAJAYA – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak tegas Deklarasi Rakyat yang ditandatangani di ibu negara pada Jumaat minggu lalu yang bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Antara yang menurunkan tanda tangan ada juga pemimpin PAS, tetapi mereka bukan mewakili mana-mana pertubuhan atau kumpulan…tanda tangan, tetapi kami (PAS) mempunyai pendirian tegas kami sendiri.
“Ada resolusi yang kami boleh terima, tetapi ada yang tidak boleh kami terima, malah ada resolusi yang kami bersedia untuk tambah,” kata beliau dalam video terbaharu yang dimuatnaik menerusi Facebook rasmi PAS.
Abdul Hadi tidak secara jelas menyatakan pendirian sebenar PAS ke atas Deklarasi Rakyat tetapi mengingatkan kembali bahawa jutaan ahli UMNO itu pada masa ini bukan musuh sebenar parti Islam tersebut.
“Ada beberapa pemimpin (PAS) dalam kalangan kami yang dilihat menghadiri (majlis tanda tangan Deklarasi Rakyat) – kita wajar memahami apakah kenyataan yang saya pernah buat beberapa hari lalu.
“Saya mengeluarkan kenyataan bahawa pihak PAS selama ini tidak pernah langsung bermusuh dengan ahli-ahli UMNO, sebaliknya PAS hanya menolak ideologi dibawakan oleh UMNO.
“Kita memang nyata berbeza dengan UMNO dari segi ideologi tetapi kita tidak mahu bermusuhan pula dengan ahli UMNO; kita perlu memahami bahawa itu ialah dua perkara yang berlainan,” tambah beliau.
Justeru Abdul Hadi yang dipetik oleh portal tempatan AgendaDaily dilaporkan sebagai berkata, pada akhirnya PAS juga tetap memerlukan undi daripada ahli UMNO sendiri ketika berlangsung proses pilihan raya.
“Boleh kita menang dengan hanya undi ahli PAS sahaja? Kita tidak boleh menang dengan ahli PAS semata-mata. Jika boleh, kita mahu ahli UMNO undi kita juga. Kita juga mahu bukan Islam undi kita,” katanya. – Agensi