Ada Orang Sengaja Rosakkan Kubur Di Kg Bukit Tinggi, Jitra

Batu nisan yang dicabut dan dibiarkan di Tanah Perkuburan Islam Pak Ndak Mat.
JITRA - Penduduk merayu kepada pihak berkuasa supaya dapat mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab melakukan kerosakan di Tanah Perkuburan Pak Ndak Mat di Kampung Bukit Tinggi, di sini, sejak beberapa minggu lalu.

Penduduk mendakwa banyak batu nisan dicabut dan dipatahkan serta beberapa pokok di dalam kawasan tanah perkuburan itu juga turut ditebang pihak terbabit.

Penduduk, Ahmad Abdullah, 84, berkata, ada pihak menceroboh kawasan tanah perkuburan yang sudah wujud lebih 100 tahun.

Menurutnya, tindakan pihak terbabit menimbulkan rasa tidak puas hati dan masalah dalam kalangan waris di kampung itu.

“Sebelum ini, saya pernah menegur seorang penduduk di sini supaya jangan menebang pokok yang terdapat di dalam kawasan tanah perkuburan itu.

“Tidak berpuas hati dengan teguran saya itu, keesokannya orang berkenaan telah mencabut beberapa batu nisan dan mematahkannya.

“Bila saya tegur sekali lagi, keadaan bertambah serius apabila orang itu telah mencabut dan merosak serta membuang batu nisan di dalam longkang dan hutan,” katanya.

Lebih menyedihkan, kata Ahmad, ada waris yang datang ke kawasan tanah perkuburan berkenaan sudah tidak dapat mengenal pasti kubur saudara mereka.

“Saya harap lebih ramai waris datang  menziarahi tanah perkuburan itu supaya dapat mengenal pasti kedudukan kubur saudara mereka supaya tidak bertindih dengan kubur orang lain,” ujarnya.

Penjaga kubur, Johari Ahmad, 47, berkata, kerosakan yang dilakukan pihak berkenaan bermula kira-kira dua minggu lalu.

Difahamkan pada mulanya pihak berkenaan hanya mahu membersihkan tanah perkuburan itu, tetapi selepas ditegur, dia bertindak lebih agresif.

“Masalah ini pernah diadukan kepada jawatankuasa kampung bagi mengatasi masalah kerosakan kubur ini, tetapi malangnya sehingga hari ini tak ada tindakan diambil," katanya.

Sementara itu, Bendahari Masjid Kampung Bukit Tinggi, Ahmad Din berkata, pihak masjid tidak boleh campur tangan kerana status tanah perkuburan itu hak milik persendirian dan tidak diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Kedah (Maik).

Sumber: Sinar Harian