Ahli Parlimen Tak Tahu Status Wakili DAP Atau Bebas

Ahli Parlimen Kota Melaka
KUALA LUMPUR - ‎Masih tiada jawapan daripada DAP mengenai status penggantungan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him sejak Februari lalu.

Tong Him berkata, buat masa kini, beliau masih menunggu keputusan daripada parti dan akur sekiranya parti memutuskan yang beliau menjadi ahli parlimen bebas. 

"Saya tak diberitahu adakah kedudukan saya sebagai ahli parlimen DAP masih kekal. Apa maknanya gantung keahlian? Tidak jadi ahli atau gantung hanya satu tahun? Dan apa tugas saya?

"Yang saya hanya tahu saya ahli Parlimen yang dipilih rakyat dan teruskan perkhidmatan saya bagi menjaga kebajikan rakyat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Pada 6 Februari lalu, DAP telah menggantung keahlian Ahli Parlimen Kota Melaka itu selama setahun.

Setiausaha jawatankuasa tatatertib DAP, Tai Xing Piao berkata penggantungan itu dibuat kerana Sim sering kali membuat kenyataan yang merosakkan reputasi parti.

Tindakan tersebut turut dikenakan kepada Adun Duyong, Goh Leong San.

Leong San kemudiannya diisytihar keluar parti dan diumumkan sebagai wakil Bebas, berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Speaker (Dun) , Datuk Wira Othman Muhammad, dalam ucapan pembukaannya pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dun Melaka Ke-13, di Seri Negeri.

Mengulas lanjut, Tong Him berkata bagaimanapun perkara itu telah diajukan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi meminta penjelasan tentang kedudukan kerusinya.

Namun, beliau telah dimaklumkan kedudukan kerusinya masih sama, namun statusnya tetap belum diketahui sehingga hari ini.

Sumber: Sinar Harian