Azuyah melihat keputusan cemerlang STPM seorang pelajar. |
JITRA - Seorang anak tukang jahit antara calon cemerlang Sijil Tinggi persekolahan Malaysia (STPM) 2015 yang diumumkan semalam.
Mohd Zul Harris Ahmad Zuki, 20, pelajar SMK Dato’ Syed Omar, Alor Setar memperolehi Purata Nilai Gred Komulatif (PGNK) 4.00 iaitu A dalam semua mata pelajaran.
Tidak percaya dengan keputusan yang berada dalam genggamannya, beliau menganggapnya sebagai rezeki dari ALLAH SWT.
“Saya tak ambil kelas tambahan luar kerana kos sangat tinggi. Jadi saya beri perhatian sepenuhnya terhadap program dan kelas tambahan disediakan sekolah,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Beliau berharap dapat menempatkan diri di mana-mana universiti tempatan untuk membantu ibu dan keluarganya.
Kejayaan itu turut dikongsi ibunya, Nur Ain, 39, seorang tukang jahit yang hadir bersama adik bongsunya.
Mengenai anak kedua daripada enam beradik itu, Nur Ain menyifatkan Mohd Zul Harris sebagai seorang yang rajin sejak kecil dan pandai berdikari.
“Dia sanggup tidak sambung pelajaran di mana-mana universiti walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana faham kesempitan hidup yang kami hadapi,” katanya yang juga seorang ibu tunggal.
Sebelum itu, bertempat di SMK Jitra, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan mengumumkan 24 calon STPM memperolehi PGNK 4.00.
Sebanyak 41 dari 61 pusat peperiksaan di negeri ini mencatatkan kelulusan penuh 100 peratus.
“Manakala peratus calon mendapat lulus penuh pada tahun 2015 ialah 99.05 peratus iaitu meningkat 0.07 peratus berbanding 2014,” katanya.
Sumber: Sinar Harian