Awas Dengan Pemimpin Yang Umpama "Keluang Dan Kelawar"

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba untuk menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Intai, Menuang, semalam. - Foto BERNAMA
LIMBANG – Rakyat diingatkan agar tidak menyokong sesetengah pemimpin yang bersikap umpama ‘keluang dan kelawar’ yang hanya turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat secara bermusim.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa memberikan peringatan itu berkata pemimpin terbabit hanya datang melawat semasa buah-buahan dalam ‘musim berbuah’ dan kemudian menghilang apabila musim itu berakhir.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Badudun (berkumpul untuk mengeratkan silaturahim, perpaduan dan kerjasama) masyarakat Melayu dan pertandingan lumba kerbau di SK Kampung Gadong, dekat sini, semalam.

“Pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak bersikap seperti keluang atau kelawar. Mereka sentiasa turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Mereka tidak kisah sama ada menjelang pilihan raya negeri atau pilihan raya umum. Mereka turun padang pada setiap masa, tidak seperti sesetengah pemimpin yang hanya turun padang kerana pilihan raya negeri’,” katanya.

Ahmad Zahid berkata rekod perkhidmatan cemerlang itu telah membolehkan BN terus berkuasa sejak ditubuhkan pada 1974.

“Kini terdapat individu yang mahu menggulingkan atau menukar kerajaan kerana mereka mendakwa sudah terlalu lama berkuasa.

“Tetapi menukar sebuah kerajaan bukan semudah menukar kereta atau baju,” tegasnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka yang terlibat termasuk seorang pemimpin kerajaan BN selama dua dekad.

“Beliau seolah-olah lupa yang beliau telah memainkan peranan penting dalam membangunkan dan memajukan negara ke tahap kejayaan sekarang hasil daripada kesinambungan kepimpinan yang berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa di bawah kerajaan BN, peluang saksama diberikan kepada semua untuk memajukan diri dan makmur, dan tumpuan kerajaan tidak hanya pada tempat atau wilayah spesifik di dalam negara.

“Kerajaan akan terus memberi tumpuan bagi pembangunan seimbang di kawasan bandar dan luar bandar. Malah mereka di luar bandar yang cemerlang dalam akademik akan diberikan peluang lebih baik untuk pergi lebih jauh dalam kehidupan mereka,” katanya.

Susulan pilihan raya negeri Sarawak yang ke-11 semakin hampir, Timbalan Perdana Menteri menggesa rakyat terus memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan “pasukan Adenan”.

“Adenan ialah seorang pemimpin yang baik dan sentiasa memperjuangkan isu-isu negeri dan menyuarakan aspirasi dan harapan rakyat kepada pihak kerajaan persekutuan.

“Kami di peringkat kerajaan pusat mendengar apa yang disuarakan beliau,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan bantuan kerajaan sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Melayu Limbang, RM350,000 bagi dana pembinaan dewan komuniti Kampung Gadong di samping sumbangan peribadi RM10,000 untuk membiayai pertandingan lumba kerbau akan datang.

Katanya sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau juga akan mengkaji permohonan mereka bagi sebuah pos CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) dibina antara Pendam, dekat sini dan Lumapas di sempadan Brunei Darussalam. – BERNAMA