AWAS! KDN Tak Pernah Lantik Agen Kendali Penggajian Semula PATI

Datuk Nur Jazlan Mohamed
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya telah mengenal pasti sebuah syarikat tempatan yang menawarkan khidmat berkenaan dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Banyak kes ejen palsu tawar khidmat tersebut menerusi iklan di internet dan media sosial. Minggu lepas kami (KDN) buat satu laporan polis. Banyak lagi laporan polis akan dibuat selepas ini.

“Mana-mana syarikat dan majikan yang didapati bersalah akan didakwa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Nur Jazlan mengingatkan majikan agar tidak terpengaruh dengan sebarang khidmat yang ditawarkan mana-mana syarikat yang mendakwa dilantik KDN sebagai ejen program itu.

“Saya takut sebab ada majikan lebih percayakan ejen hingga sanggup membayar beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan pekerja PATI. Saya nak maklumkan di sini bahawa penguatkuasaan akan diteruskan dan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan dan ejen berkenaan,” katanya. – BERNAMA