Bahagian Falak Jabatan Mufti Kedah Bergelap 47 Saat Di Palembang

Sebahagian peserta mengikuti program mencerap anjuran Bahagian Falak Jabatan Mufti Kedah.
ALOR SETAR - Bahagian Falak Jabatan Mufti Kedah berpeluang melihat sendiri keadaan gelap disebabkan fenomena gerhana matahari penuh di Palembang, Indonesia, baru-baru ini.

Pegawai Falak Jabatan Mufti Kedah, Syeikh Mohd Firdaus Mohd Khalil berkata, mereka merasai keadaan gelap berkenaan lebih kurang seminit 47 saat.

“Kami dapat rasa keadaan gelap, tetapi tidak dapat mengambil gambar gerhana matahari kerana ditutupi awan tebal ketika mencerap di Wisma Atlet Jakabaring, Palembang.

“Aktiviti mencerap berkenaan dilakukan kira-kira jam 5.30 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB), sebelum sesi cerapan terakhir selesai pada jam 8.37 pagi WIB,” katanya.

Terdahulu, pengalaman itu diperoleh dalam program pencerapan gerhana matahari penuh anjuran Bahagian Falak Jabatan Mufti Kedah selama lima hari sejak 7 Mac lalu.

Syeikh Mohd Firdaus berkata, aktiviti mencerap dilakukan di Palembang disebabkan suasana gelap ketika gerhana matahari lebih terasa di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ramai orang tertumpu di sana untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari itu, selain di kawasan tertentu seperti Pulau Belitung dan Pulau Ternate.

Katanya, penduduk benua Asia hanya berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari dalam tempoh tiga tahun lagi, iaitu pada 26 Disember 2019.

“Disebabkan itu, fenomena kali ini menjadi tumpuan kerana dianggap unik dan jarang sekali gerhana matahari berlaku terutamanya gerhana matahari penuh.

“Aktiviti mencerap dilakukan menggunakan kamera Gopro Hero 4 demi menjejaki Bayang Bulan (Moon Shadow) dan kamera DSLR untuk merakamkan sentuhan gerhana mulai jam 6.20 pagi," ujarnya.

Tambahnya, mereka turut mengadakan solat gerhana matahari yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan beliau menjadi imam solat gerhana itu, manakala satu lagi kumpulan diimamkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Aktiviti mencerap gerhana matahari itu turut disertai beberapa jabatan, seperti Jabatan Mufti Terengganu, Jabatan Mufti Perak dan Jabatan Mufti Pahang.

Penuntut dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) turut mengambil bahagian dalam aktiviti itu.

Pegawai Kewangan negeri, Datuk Sepiah Isa dan Bendahari negeri, Nazhatun Md Rejab turut menyaksikan fenomena gerhana matahari itu.