Bang Seung Hwan |
Pemain pertahanan skuad Kedah dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan tidak begitu gembira sebaik sahaja dapat menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Sabah, Jumaat lalu.
Namun menurutnya, kegembiraan sebenar dan kepuasan hadir selepas melihat wajah rakan sepasukan dan barisan jurulatih meraikan gol pertama Kedah dalam saingan suku akhir Piala FA di Stadium Likas itu yang berkahir dengan skuad Helang Merah menang 2-1.
Pemain berusia 33 tahun itu berkata, dia puas melihat rakan sepasukan gembira meraikan gol tersebut kerana Kedah memerlukan gol di tempat lawan dalam perlawanan berkenaan selain kemenangan.
"Setiap kali menjaringkan gol sudah pasti ia membuat saya teruja dan gembira tetapi apa yang lebih memuaskan hati ialah melihat wajah rakan sepasukan dan jurulatih pegawai yang gembira meraikan jaringan itu bersama peminat.
"Kedah antara pasukan yang berjaya memikat hati saya untuk kekal lebih lama, sebelum ini saya hanya kekal untuk setahun dengan pasukan lain selepas bersama Incheon United selama empat musim.
Saya juga gembira dengan hubungan di kalangan rakan sepasukan seperti Khairul Helmi Johari. Saya selesa dan gembira kerana sikap yang tidak mudah mengalah dalam pasukan ini," katanya.
Seung Hwan berkemampuan untuk beraksi dalam dua posisi iaitu pertahanan dan penyerang.
Dalam perlawanan menentang Pulau Pinang bagi saingan Liga Premier musim lalu dia berjaya menjaringkan gol ketika beraksi sebagai penyerang utama menggantikan Chidi Edeh yang mengalami kecederaan.
Ketika bersama Incheon United pada 2004 hingga 2008, dia berjaya menjaringkan sembilan gol daripada 85 penampilan sebagai penyerang dan pertahanan.
Seung Hwan menambah, dia berharap dapat melanjutkan kontrak bersama skuad Helang Merah yang akan tamat pada akhir tahun ini kerana ingin beraksi lebih lama di Stadium Darul Aman.
"Apa yang membuatkan saya beraksi lebih baik dalam setiap perlawanan ialah sifat tidak mahu mengalah dan sentiasa berusaha demi mencapai kejayaan oleh kesemua pemain.
"Lagi banyak perlawanan yang dilalui sudah pasti lagi mantap prestasi kami. Saya yakin dengan tunjuk ajar Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe kami mampu menjadi pencabar utama pada Liga Malaysia musim ini," jelasnya.
Sumber: mStar