Banjir Sudah Surut Di Serian, Tapi JPAM Masih Terus Tabur Bakti

Gambar Hiasan
SERIAN – Bagi anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tuga mereka belum tamat walaupun banjir sudah surut dan pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Slabi Entungkuh di sini ditutup pagi semalam.

Kini mereka menghulurkan bantuan dalam kerja pembersihan pula susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lepas.

Lt Muda (PA) Jostan Ringin, 55, yang mengetuai 16 anggota JPAM sibuk membersihkan bangunan Gereja St Henry dan bahagian bawah struktur bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan St Henry di kampung itu yang diselaputi lumpur.

Selain JPAM, turut membantu dalam gotong-royong membersihkan dua lokasi berkenaan ialah anggota tentera, anggota polis serta penduduk kampung.

“Di gereja tiada kerosakan besar … cuma dimasuki air dan lumpur. Untuk bangunan prasekolah pula hanya bahagian bawah bangunan terjejas … cuci dan bersihkan daripada lumpur yang dibawa banjir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu semalam.

Kampung Slabi Entungkuh didiami 93 keluarga, biarpun tidak semua rumah ditenggelami banjir gelombang kedua pada Sabtu lepas, banjir mengakibatkan kemusnahan sawah padi, tanaman pisang dan kehilangan haiwan ternakan.

“Tugas kan kena buat sebaik mungkin,” kata Jostan.

Beliau juga bersyukur kerana tiada rumah anggotanya terlibat dalam banjir dan seterusnya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja memantau dan menjaga mangsa di pusat pemindahan dan kini kerja pembersihan. – BERNAMA