Gambar Hiasan |
SEDAR atau tidak, dalam tempoh seminggu pertama bulan Mac, negara merasai tujuh gegaran akibat gempa bumi yang berlaku. Kebanyakannya berlaku di Sumatera, Indonesia dan Laut Bismarck, 204 kilometer barat daya Kavieng, Papua New Guinea. Kejadian-kejadian tersebut berlaku antara tarikh 1 hingga 5 Mac.
Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, satu daripada gempa bumi itu berlaku di Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac lalu. Bagaimanapun, gempa yang berlaku pada 5.04 petang itu berskala lemah iaitu 3.5 pada skala Richter.
Daripada enam gegaran, gempa bumi yang berlaku di Barat Daya Sumatera pada 2 Mac 2016 adalah yang terkuat dirasai apabila mencatatkan bacaan 7.9 skala Richter. Gegarannya turut dirasai oleh mereka yang berada di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Johor.
Memanglah semua itu kita sebut sebagai bencana atau fenomena alam. Namun, banyaknya berlaku gempa itu juga adalah tanda-tanda kiamat makin hampir. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak akan tiba hari kiamat hingga dicabutnya ilmu, banyak terjadi gempa bumi dan masa dirasakan berdekatan.” (Riwayat Bukhari)
Nabi Muhammad SAW menyebut kejadian gempa bumi adalah salah satu tanda kiamat dan kebanyakan gempa bumi berlaku kerana letusan gunung berapi. Kejadian letusan gunung berapi dan gempa bumi makin kerap berlaku.
Statistik sebuah agensi di bawah Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), National Earthquake Information Centre menunjukkan kejadian gempa bumi yang berlaku sekitar tahun 2010 dalam magnitud 6 hingga 9.9 skala Richter adalah 73 kes di seluruh dunia. Ini mengakibatkan 226,729 kematian. Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Mac 2011, sebanyak 81 kejadian gempa bumi direkodkan.
Bagi orang mukmin, berlaku gempa bumi juga adalah sebagai peringatan Allah kepada manusia tentang usia dunia yang semakin tua. Untuk itu, memerlukan kita sentiasa dalam keadaan bersedia dengan melipatgandakan amal ibadat.
Dalam peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Namun, di dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.
Mengenai masa pula, memang berlalu begitu pantas. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu suntuk. Sehingga banyak perkara belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa yang berlalu dengan tidak ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.
Menurut Imam al-Karmani, maksud singkatnya masa ini adalah dicabut keberkatan daripadanya. Dahulu dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara yang dapat kita buat. Ini juga satu petanda hampirnya kiamat.
Oleh yang demikian, ayuh kita memanfaatkan saki-baki masa dan umur untuk meningkatkan amalan kebajikan dan menghindar melakukan kemaksiatan. Masa yang lepas jadi sejarah yang tidak boleh diubah.
Sekarang mari kita berazam memastikan setiap apa yang kita lakukan hanyalah perkara yang baik-baik. Tidak semestinya ibadat khusus iaitu solat, puasa dan haji. Banyak lagi amal kebajikan yang boleh kita buat hatta mengubah duri atau halangan di jalanan pun dikira kebajikan.
Mengucapkan perkataan yang baik juga dikira sebagai melakukan kebaikan. Sebabnya berapa ramai manusia yang diseksa oleh Allah SWT di akhirat kelak angkara lidah yang tidak bertulang. Lidah yang mudah mencela dan mengumpat termasuk juga mengongsi (share) berita-berita yang belum dipastikan kesahihannya melalui laman-laman sosial.
Ingatlah hidup di dunia hanya sekejap berbanding kehidupan di akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah dunia itu dibandingkan dengan akhirat melainkan bagaikan salah seorang kamu memasukkan jari tangannya ke dalam lautan, perhatikanlah apa yang dibawa oleh jari itu.” (Riwayat Muslim)
Sumber: Utusan