"Bar Council Patut Tubuh Parti Sendiri" - Pakar Undang-Undang

Pakar undang-undang, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal
BANGI - Ahli Majlis Peguam yang ingin membawa pendirian tertentu yang tiada kaitan dengan fungsi sebenar badan itu disaran menubuhkan parti politik sendiri.

Pakar undang-undang, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, ini kerana tugas sebenar Majlis Peguam hanyalah untuk meluluskan lesen bagi individu yang memohon untuk menjadi peguam.

“Jika Majlis Peguam mempunyai pendirian yang tertentu, bagi saya Majlis Peguam perlu jadi ahli politik. Mereka nak buat beberapa isu, kena keluar (Majlis Peguam) dan buat parti sendiri.

“Majlis Peguam perlu jadi badan yang meluluskan lesen untuk jadi peguam. Sebab apa? Sebab itulah asasnya yang sebenar,” katanya dalam program Bicara Persada, di sini, semalam.

19 Mac lalu, Majlis Peguam dalam mesyuarat agungnya yang dihadiri 1,400 peguam meluluskan usul untuk menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan.

Majlis Peguam juga telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mohamed Apandi untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes RM2.6 bilion dan SRC International.

Mengulas lanjut, Noor Aziah yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tindakan Majlis Peguam mengemukakan usul menggesa Mohamed Apandi meletakkan jawatan adalah tidak mengikut undang-undang.

“Kalau Majlis Peguam nak bawa satu usul mengenai perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan, ia adalah tidak mengikut lunas undang-undang. Jadi (Majlis Peguam) boleh buat seminar untuk bincang perkara itu tapi jangan dalam kumpulan yang kecil,” katanya.

Beliau turut menegaskan pelantikan Peguam Negara sudah termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Ada kriteria tertentu untuk siapa yang boleh dilantik jadi Peguam Negara.

“Bagi saya, sesiapa saja yang layak boleh dicalonkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian