Beri Merpati Makan Di Singapura, Makin Ramai Didenda RM1,483

Gambar Hiasan
SINGAPURA – Lebih ramai orang termasuk pelancong asing didenda kerana didapati memberikan makanan kepada burung merpati ‘lapar’ di seluruh negara, menurut laporan stesen milik pemerintah Channel NewsAsia.

Sekitar 130 saman berjaya dikeluarkan terhadap ‘penderma’ atas kemurahan memberi makan itu oleh anggota penguatkuasaan pihak Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan Singapura (AVA) sepanjang tahun 2015 lalu.

Ia sekali gus mencipta rekod sejarah tersendiri apabila jumlah saman tersebut sebenarnya adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding bilangan saman untuk kesalahan serupa telah dikeluarkan oleh AVA pada tahun 2014.

Menurut kenyataan AVA, pihaknya menerima kira-kira 4,000 aduan daripada masyarakat mengenai masalah berhubung burung merpati pada tahun lalu, iaitu sebanyak 60 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.


Aduan yang diterima oleh AVA termasuk isu kebersihan seperti najis burung merpati dan dianggarkan lebih 6,000 aduan mengenai gangguan daripada spesies unggas lain turut dilaporkan kepada pihak AVA sepanjang tahun lalu.

Keadaan tersebut memaksa AVA melaksanakan kaedah kawalan kelahiran dengan menabur bahan kimia dadah dikenali sebagai nicarbazin buatan Itali yang mampu memandulkan merpati betina sekitar 10 peratus setahun.

AVA turut memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menabur makanan kepada merpati di jalanan dan pesalah ditangkap kerana ingkar boleh dikenakan kompaun S$500 (RM1,483) – Agensi