Setiausaha Umno Negeri, Datuk Hanafi Mamat |
PASIR MAS - Umno Kelantan menyifatkan tindakan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan musuh-musuh politik parti untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan seolah-olah mengkhianati parti berkenaan.
Setiausaha Umno Negeri, Datuk Hanafi Mamat berkata, sebagai bekas pemimpin nombor satu parti, Mahathir tidak sepatutnya menjadi tunjang kepada gerakan untuk menjatuhkan Najib.
“Setiap pentadbiran ada kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Pada pendapat saya, Najib seorang pemimpin yang cukup cakna kepada rakyat,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menggulingkan Najib.
Sebelum itu, Hanafi yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Mas menyampaikan sumbangan wang ehsan kepada pesakit buah pinggang kronik, Nora Salleh, 41, di Kampung Serdang.
Turut hadir, Pentadbir Mukim Kawasan Dun Tendong, Abdullah Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Kubang Sepat Mohd Zin Daud.
Hanafi berkata, bukan itu sahaja Najib sentiasa memberikan respon kepada setiap teguran berkaitan dengan kelemahan dalam pentadbirannya.
Beliau berkata, Umno Kelantan secara sebulat suara bersetuju mempertahankan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
“Jujurnya, Umno Kelantan kesal dengan tindakan Mahathir yang bersama-sama dengan musuh ketatnya sendiri untuk menjatuhkan Najib sedangkan dahulu beliau amat dikenali sebagai seorang yang amat berpegang kepada prinsip.
“Umno Kelantan akan terus memantapkan gerakan parti dalam memastikan Perdana Menteri terus menerajui pentadbiran negara dengan penuh iltizam, tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Hanafi turut menyeru kepada seluruh ahli Umno untuk berdiri teguh dibelakang kepimpinan Najib sebagai Presiden Umno.