Bersih 2.0 Tak Beri Mandat Pada Maria Chin Tandatangan "Deklarasi"

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah
KUALA LUMPUR – Pertubuhan BERSIH 2.0 tidak akan terlibat dengan `deklarasi rakyat’ apatah lagi mengunakan dananya untuk menjayakan deklarasi yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad tersebut.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan media menegaskan, pertubuhan itu tiada kena mengena dengan `deklarasi rakyat’ walaupun ia disertai Pengerusinya, Maria Chin Abdullah.

“`Deklarasi rakyat’ ditandatangani oleh Maria dalam kapasiti peribadi beliau.

“Maria tidak menandatanganinya bagi pihak BERSIH 2.0 kerana dia tidak diberi mandat oleh Jawatankuasa Pemandu mahupun badan lain yang menyokong BERSIH 2.0,” tegas kenyataan itu semalam.

BERSIH 2.0 turut menjelaskan terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam pertubuhan itu tidak bersetuju Maria menyertai `deklarasi rakyat’ oleh Mahathir.

Mahathir bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 Mac lalu duduk semeja dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan bagi mengumumkan `deklarasi rakyat’

Banyak pihak melihat Mahathir dan kumpulan penentang dalaman UMNO dipergunakan oleh Pakatan Harapan yang didominasi parti DAP untuk menjatuhkan UMNO dari dalam.

Segelintir pihak lain pula menggangap Pakatan Harapan dipergunakan oleh Mahathir dan sekutunya demi mencapai cita-cita peribadi untuk menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang baharu. –Kedahnews.com