BN Johor Tegas Sokong Mohd Najib, Tak Boleh Terima Tindakan Tun M

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) dan Umno Johor menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memimpin parti dan kerajaan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata BN dan Umno Johor tidak boleh menerima tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan pembangkang membuat deklarasi untuk menyingkirkan Najib.

"Dari segi pendirian BN dan Umno Johor, kita tahu cara untuk mewujudkan kerajaan adalah melalui perlembagaan yang memperuntukkan pilihan raya, tiada cara lain untuk menukar atau menjatuhkan kerajaan selain melalui proses pilihan raya.

"Oleh itu, kita (BN dan Umno Johor) tidak boleh menerima apa yang dilakukan itu dan pada masa sama, kita suka nyatakan bahawa kita, BN Johor termasuk Umno Johor memberi sokongan penuh kepada Presiden dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran parti Gerakan Johor, yang turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong, di sini, semalam.  

Semalam, Tun Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam memeterai deklarasI menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatanganan lain termasuk bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Khaled, yang juga Menteri Besar Johor, berkata tindakan Dr Mahathir juga boleh mengelirukan rakyat kerana seolah-olah menunjukkan bahawa perlembagaan dan sistem pilihan raya sudah tidak relevan, tidak dihormati dan tidak wajar dipertahankan.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap beberapa pemimpin yang turut terlibat bersama Dr Mahathir sedangkan mereka sepatutnya mempertahankan amalan demokrasi dan perlembagaan.

"Kita jangan nafikan tindakan Dr Mahathir tidak berbahaya kerana atas nama 'deklarasi rakyat' juga, dia (Tun Dr Mahathir) akan mendapat sokongan daripada 'prominent Malays' yang akan mempengaruhi masyarakat," katanya.

Menurutnya, BN dan Umno perlu memberikan perhatian serius terhadap tindakan Dr Mahathir memandangkan beliau percaya tindakan Tun Dr Mahathir tidak akan berhenti setakat memeterai deklarasi tersebut. - Bernama