ALOR SETAR - BN Kedah hari ini sebulat suara bersetuju tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang telah melanggar tataetika parti dengan menyertai 'Deklarasi Rakyat' baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, penglibatan Muhyiddin dan Mukhriz jelas telah melanggar tataetika seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan parti kerana mereka berdua masih lagi anggota Umno yang sah.
"Kami kesal dan kecewa dengan penglibatan mereka dalam Deklarasi Rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Umno dan BN di Seri Mentaloon hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Umno Kedah, Datuk Rozai Shafian dan semua ketua Umno bahagian di negeri ini.
Jumaat lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai tindakan menandatangani Deklarasi Rakyat menyokong penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut disertai Muhyiddin, Mukhriz, anggota pembangkang bersama-sama 50 yang lain.
Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sebagai mantan presiden Umno, Dr Mahathir sepatutnya faham dengan tuntutan yang perlu diasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen.
"Sebaliknya, beliau telah mengambil pendekatan dengan matlamat menghalalkan cara, jelas prinsip demokrasi telah dicabuli beliau yang secara tidak langsung telah menafikan hak pengundi yang memberi mandat kepada BN untuk menerajui kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu," katanya.
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah |
"Umno Kedah telah memohon supaya presiden terus fokus kepada pembangunan negara dalam usaha untuk memulihkan ekonomi dan keselamatan negara yang merupakan keutamaan buat masa ini.
"Jentera parti juga akan dimantapkan di semua peringkat bagi menghadapi segala bentuk cabaran dari dalam mahu pun luar dan tidak akan sesekali tunduk dan berundur dalam perjuangan menentang musuh parti," katanya.
Di KUANTAN, Umno Bahagian Indera Mahkota mengecam tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang untuk menggulingkan Najib melalui Deklarasi Rakyat.
Ketuanya, Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid berkata, tindakan Dr Mahathir dan beberapa tokoh politik Umno serta pembangkang itu dilihat tidak menghormati Perlembagaan negara.
"Kita sepakat mengecam dan menolak tindakan mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan presiden Umno dan perdana menteri. Ini bukan cara yang betul dan apabila Dr Mahathir turut sama menandatangani deklarasi itu ia amat mengecewakan kami," katanya pada sidang akhbar di pejabat Umno Bahagian Indera Mahkota hari ini.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat senada dengan Umno Pahang yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan akar umbi serta akan terus mendokong dan menyokong penuh Najib.
Mustafar Kamal berkata, sebarang tindakan menggulingkan kerajaan di luar kotak perundangan negara serta menghasut rakyat adalah bertentangan dengan teras sesebuah kerajaan yang telah dimandatkan oleh rakyat menerusi pilihan raya umum. - Bernama