Brunei Potong Gaji Penjawat Awam Sebab Kawal Ketat Bajet


BANDAR SERI BEGAWAN – Ketika kakitangan kerajaan persekutuan di Malaysia bersyukur bakal menikmati kenaikan gaji bermula Julai depan, lain halnya dengan nasib penjawat awam di negara jiran mereka, Brunei

Kementerian Kewangan Brunei (MOF) dan jabatan-jabatan kerajaan di bawahnya akan menerima peruntukan hanya sebanyak B$1.02 bilion (RM3.02 bilion) untuk tahun fiskal 2016/2017, lapor media tempatan pada Jumaat.

Jumlah itu kurang B$199 juta (RM590 juta) yang diperuntukkan pada tahun sebelum ini dan ia didedahkan sendiri oleh Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato’ Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II berkata demikian ketika sesi persidangan di Bangunan Dewan Majlis Perundangan Brunei atau Legislative Council (LegCo) pada Khamis.

Menurut Abdul Rahman, bajet diperuntukkan tersebut bakal menyaksikan penurunan gaji bulanan baharu semua kakitangan awam di seluruh Brunei sebanyak 2.3 peratus yang berjumlah B$57,222,996 (RM169,683,528).

Ia mengulangi amaun dibelanjakan sebanyak 6.1 peratus yang berjumlah B$530,423,529 (RM1,572,866,540) dan juga untuk perbelanjaan khas sebanyak 27.2 peratus yang berjumlah B$437,134,395 (RM1,296,235,981).

Dalam fiskal terbaharu, MOF akan terus menyokong polisi untuk memberi tumpuan kepada dasar yang mesra biness dan pelaburan sebagai usaha untuk menambah baik aktiviti perniagaan serta meningkatkan pelaburan.


Langkah proaktif itu diharap dapat meningkatkan produktiviti perkhidmatan semua kementerian, melonjakkan pembinaan kapasiti modal insan dan mempertahankan kepentingan awam sejajar dengan kepentingan negara.

Abdul Rahman menambah, kaedah belanjawan berasaskan input yang dilaksanakan pihak MOF pada masa sekarang akan digantikan sepenuhnya dengan kaedah Program Bajet Berprestasi pada tempoh 2016/2017.

Ia merupakan sebahagian daripada proses Pembaharuan Pengurusan Kewangan Awam (PPB) diamalkan oleh MOF untuk mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sepanjang tahun ini dan depan.

Beberapa inisiatif sudah pun giat dilakukan MOF untuk menyediakan suasana penambahbaikan, efektif kos dan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat awam termasuk sistem online bagi permohonan lesen perniagaan.

Selain itu ujar Abdul Rahman, MOF juga memperkenalkan Electronic Ports Information System (ePIS), Brunei Darussalam National Single Window (BDNSW) dan e-mel sistem jejak pergerakan invois kerajaan atau TAFIS.

“MOF berharap semua program dan projek yang dibincangkan akan menyokong inisiatif untuk memudahkan urusan bisnes di negara ini sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi dan kemajuan sektor swasta,” kata beliau.

Pihak kerajaan Brunei pada masa sama jelas Abdul Rahman, dijangka menghasilkan satu struktur kewangan yang bersesuaian dengan dasar kebolehupayaan fiskal diamalkan sekarang. – Agensi