Bukan Islam Tak Boleh Jadi Peguam Mahkamah Syariah, Muktamad!


PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan pada Khamis memutuskan bahawa peguam bukan beragama Islam tidak boleh beramal dalam mana-mana prosiding Mahkamah Syariah di Malaysia.

Dalam keputusannya, panel lima Hakim Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Sharif memberi keputusan majoriti 3-2 bahawa peguam bukan Muslim tidak boleh beramal di Mahkamah Syariah.

Untuk rekod, Victoria Jayaseele Martin yang memohon menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan namun ditentang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Peguam Negara.

Semasa hujahan tahun lalu, MAIWP diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Shamsul Bolhasan, berkata hanya Muslim boleh berdebat berkenaan hal ehwal perundangan Islam di Mahkamah Syariah.

Jelasnya, Mahkamah Syariah tidak boleh pula mengenakan hukuman terhadap peguam bukan Islam kerana perbuatan tersebut dilihat menghina serta menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, orang bukan Muslim perlu dilarang daripada muncul di Mahkamah Syariah.

Selain itu, isu hak asasi manusia di bawah Islam mesti diputuskan mengikut undang-undang agama dan bukan undang-undang sekular serta tidak wujud diskriminasi agama kerana ia hanya melibatkan orang Islam

Victoria diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus Dass dan Ranjit Singh berhujah merujuk Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1963 (Wilayah Persekutuan) yang membolehkan mana-mana individu diterima sebagai peguam syariah jika beliau berkelayakan dalam bidang undang-undang syariah.

Pihak pembelaan bagaimanapun menjelaskan MAIWP mempunyai kuasa untuk mengubal prosedur kelayakan dan peraturan tersebut diterima sah mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam 1963 Wilayah Persekutuan.

Mahkamah diberitahu, MAIWP kemudian mengenakan syarat-syarat di bawah Peraturan 10 dalam Peraturan-Peraturan Peguam Syarie 1993 menetapkan peguam syariah mestilah Islam untuk mencapai tujuan akta tersebut.

Victoria, 54 tahun, yang merupakan lepasan Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan namun Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dengan mengisytiharkan bahawa Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 yang menyebut hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie adalah bercanggah dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Seksyen 59 akta tersebut menetapkan bahawa mana-mana orang ada pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syarak boleh diterima menjadi Peguam Syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Syariah. – Agensi