Gambar Hiasan |
UMAT Islam hari ini sebenarnya telah banyak kehilangan harga diri serta maruah disebabkan terlalu merumitkan perbezaan pendapat di sekitar hal yang mandub (bentuk keagamaan yang sifatnya hanya dianjurkan) dan mubah (harus).
Sesetengah kelompok atau aliran menganggap fahaman mereka sahajalah terbaik dan menjadi pewaris Islam yang sebenar. Hakikatnya dendam antara aliran-aliran dalam Islam terus membara dan menjadi masalah dalam penyatuan Islam sehingga melahirkan konflik berdarah.
Mengenai penghargaan atas perbezaan pendapat, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud;
“Perbezaan pendapat (dalam kalangan) umatku adalah rahmat.’’ (Riwayat al-Baihaqi).
Justeru, tidak hairan dalam Islam ada beberapa mazhab dan aliran. Dalam fiqh ada beberapa mazhab yang paling tersohor iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hambali.
Selain itu, ada juga mazhab fiqh lain, meskipun tidak sebesar mazhab yang empat tersebut seperti Zahiri dan Jaafari. Islam bersikap toleransi dalam perbezaan pendapat sejauh ia tidak membawa perpecahan. Al-Quran mengingatkan;
“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai...’’ ( al- Imran ayat 103).
Para fukaha sepakat menyatakan fiqh adalah hasil ijtihad mereka melalui pendekatan berfikir tertentu. Kerana pendekatan yang mereka gunakan berbeza-beza, maka hasilnya pun berbeza-beza. Setiap fukaha yang melakukan ijtihad akan mendapat pahala, baik hasil ijtihadnya benar ataupun salah.
Mereka berpegang pada prinsip ijtihad yang menyatakan apabila seorang hakim melakukan ijtihad dan hasil ijtihadnya itu benar, maka ia akan mendapat dua pahala, dan apabila hasil ijtihad itu salah, maka ia akan mendapatkan satu pahala.
Tidak seorang pun di antara mereka mengetahui apakah hasil ijtihadnya benar atau salah. Mereka melakukan ijtihad agar tidak terjadi kekosongan hukum tentang suatu tindakan.
Atas dasar prinsip tersebut, para fukaha menghargai perbezaan pendapat. Tidak ada seorang pun di antara mereka berani menganggap hukum yang diperolehnya melalui ijtihad adalah hukum Allah, tidak pula menyatakan hasil pemikirannya sahaja yang benar, sedangkan hasil pemikiran orang lain salah.
Bahkan, para khalifah sekalipun tidak bersikap pada peringkat menyalahkan pemikiran orang lain.
Abu Bakar As-Siddiq, misalnya mengatakan apabila pendapatnya benar, maka kebenaran itu atas petunjuk Allah dan apabila salah maka kesalahan itu daripada dirinya dan syaitan. Umar bin Khattab mengatakan:
“Hai manusia sesungguhnya pendapat yang benar itu hanya ada pada Rasulullah SAW kerana Allah SWT memperlihatkan kebenaran itu kepadanya. Ada pun pendapat yang kita hasilkan hanya merupakan perkiraan dan usaha sungguh-sungguh. Oleh itu, laksanakanlah apa yang disunahkan Allah SWT dan Rasul-Nya, dan janganlah menjadikan pendapat yang keliru sebagai sunah.’’
Kesedaran di atas dimiliki oleh pengasas mazhab. Mereka mengatakan apabila ada hadis atau pendapat yang lebih kuat dan lebih baik dari pendapatnya, maka itulah pendapat yang diikutinya.
Kesedaran ini menunjukkan para imam mahzab menganjurkan kepada pengikutnya agar membuang hasil pemikirannya apabila mereka menemukan hasil pemikiran yang lebih kuat. Di samping itu, mereka menghendaki lahirnya rasa toleransi antara umat dan menghilangkan sikap fanatisme terhadap sesuatu pendapat.
Perselisihan pendapat tidak dapat dihindari kerana setiap fukaha mempunyai jalan pemikiran masing-masing. Namun para fukaha sepakat menyatakan al-khuruj min al-khilaf mustahabb (keluar dari perselisihan dianjurkan).
Prinsip dalam perbezaan pendapat (khilafiah) baik yang bersumber dari nas al-Quran mahupun hadis berdasarkan atas prinsip umum agama, iaitu memelihara kesatuan dan sikap berhati-hati di dalam agama.
Ulama-ulama salaf memang sering berbeza pendapat, namun mereka hanya berbeza dalam cara pandangan dan fikiran yang tidak mengakibatkan perpecahan. Mereka hanya berikhtiar dan tidak bertafarruq (berpecah). Mereka memahami mempereratkan ikatan batin lebih utama dan berusaha membersih dan menghilangkan penyakit jiwa dalam diri.
Rasulullah SAW menyedari bahawa keabadian umatnya bergantung kepada keeratan ikatan hati masyarakat yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
Sedangkan kehancuran dan perpecahan umat Islam berkait rapat dengan keretakan ikatan batin Muslim. Untuk menghindari hal itu, baginda sangat mengharapkan agar umatnya menghindari perselisihan (ikhtilaf) di antara mereka. Dalam hal ini beliau bersabda yang bermaksud:
“Kamu sekalian jangan berselisih, sebab perselisihan akan menimbulkan keretakan di dalam hati kamu’’. (Hadis riwayat Bukhari).
Nabi sendiri bersikap toleransi dan sedaya upaya mengelak daripada berlakunya perselisihan. Contohnya, pada satu masa baginda pernah berkeinginan menambah satu lagi pintu Kaabah sehingga menjadi dua pintu tetapi keinginan itu disimpan untuk menghindari kontroversi dalam kalangan para sahabat ( Riwayat Bukhari).
Demikian juga para sahabat sedapat mungkin berusaha menghindari perbezaan pendapat. Sehingga, mereka tidak terlalu banyak mempersoalkan masalah-masalah furu’. Para sahabat berusaha menentukan pendapat berdasarkan petunjuk Rasulullah SAW.
Dengan itu, penyelesaian masalah yang timbul tidak harus berasaskan perselisihan, apalagi pertengkaran dan perpecahan.
Berasaskan perspektif ini, sudah sewajarnya segala bentuk perbincangan sama ada digelar dengan halaqah, debat, mujadalah, muzakarah, mabahis dan sebagainya, perlu dalam kerangka mengelakkan elemen pergaduhan dan perpecahan.
Sebagai seseorang yang diberi amanah ilmu dan pengetahuan agama yang memadai oleh Allah, jangan pula sampai terlajak kepada sikap ‘kamu tak tahu ke siapa saya’. Mereka juga perlu menanggalkan ego dan unsur ananiyah dalam diri sekiranya ingin diterima oleh semua kalangan Islam di negara ini. Wallahu a’lam.
*MOHD. SHAUKI ABD. MAJID, PENULIS ialah Setiausaha Analisis dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)/Utusan