Chef Wan tersenarai dalam pencalonan awal APO 2016. |
Chef selebriti ternama iaitu Datuk Chef Wan berpendapat kemunculan chef baharu yang bagaikan cendawan tumbuh menerusi program realiti televisyen tidak banyak membantu melahirkan seorang selebriti chef yang berkualiti.
Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, 58, berkata, kebanyakkan mereka kurang pengalaman dan masih mentah untuk berada di skrin televisyen.
"Saya tidak rasa program realiti yang diperkenalkan untuk melahirkan chef ini membantu mencari seorang chef yang berkualiti untuk berada dan berkomunikasi dengan baik di televisyen.
"Apa yang saya lihat ialah mereka kurang berpengalaman, masih mentah dan tidak cukup terlatih lagi. Jadi, chef selebriti ini tidak semudah yang mereka sangka," ujarnya kepada mStar Online.
Chef Wan berkata, seorang individu yang ingin menjadi chef selebriti perlu mempunyai beberapa kriteria seperti mempunyai personaliti yang baik, pengetahuan yang luas tentang makanan, latihan yang cukup dalam bidang tersebut.
Selain itu, katanya, individu itu juga perlu mempunyai karisma dan dalam industri hiburan serta mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi.
"Banyak kretaria yang penting untuk menjadi seorang chef selebriti, bukan sekadar pandai masak beberapa jenis masakan atau memenangi program realiti untuk melayakkan seseorang mendapat gelaran itu," ujarnya.
Selain kehebatan di dapur, Chef Wan juga terkenal dengan kelantangannya memberi pandangan.
Katanya, disebabkan kekurangan kriteria yang disebutkan tadi membuatkan kebanyakan chef selebriti baharu yang muncul tidak mampu bertahan lama.
Dalam pada itu, Chef Wan yang turut tersenarai dalam pencalonan awal kategori Chef Selebriti Pilihan Online di Anugerah Pilihan Online (APO2016) berkata, beliau menggunakan laman sosial Instagramnya bukan untuk tujuan kormersial seperti yang sering dilakukan oleh selebriti lain.
Katanya, apa yang dimuat naik di laman sosial berkenaan adalah berkaitan hal peribadi dan bersikap terbuka mengikut pandangan dan pendapatnya.
"Saya tidak guna laman Instagram untuk tujuan kormersial, apa yang saya muat naik adalah tentang pandangan terbuka saya terhadap sesuatu perkara.
"Saya bukan seorang yang mahukan perhatian, jika mereka tidak suka dengan apa yang saya kongsi, itu adalah hak mereka dan saya tidak kisah," ujarnya.
Selain itu, ditanya tentang status yang sering mengundang kontroversi, Chef Wan berkata, dia tidak pernah takut untuk bercakap sesuatu yang betul.
Dia juga tidak pernah memaksa pengikutnya untuk bersetuju atau tidak dengan pandangan yang disuarakan dalam sesuatu hal.
"Saya memang sudah dikenali seorang yang suka bercakap secara terbuka dan saya tidak takut jika dikritik oleh orang lain.
"Prinsip saya senang sahaja, jika anda tidak suka dengan pandangan saya, itu bukan masalah saya kerana ia adalah masalah anda sendiri," ujarnya.
Dalam APO2016 Chef Wan bersaing dengan lebih 20 chef selebriti dalam kategori Chef Selebriti Pilihan Online.
APO2016 ketika ini melalui peringkat pencalonan awal yang perlu dibuat menerusi laman web apo.mstar.com.my.
Acara ini dijayakan dengan kerjasama Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi. Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April depan.
Sumber: mStar