Gambar Hiasan |
ALOR SETAR - Harga sayur-sayuran pasar tani di bawah kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dijangka naik sedikit jika cuaca panas masih berterusan.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Fama, Datuk Sharifah Hashim berkata, harga sayur-sayuran dijual di pasar tani masih stabil lagi setakat ini.
“Harga sayur-sayuran bergantung kepada bekalan dan permintaan. Kalau permintaan meningkat namun bekalan kurang sebab sayur tak dapat ditanam kerana cuaca panas, ada kemungkinan harga naik. Tapi setakat ini kita lihat harganya masih stabil,” katanya dalam Program Jualan Terus dari Ladang di Pasar Tani Taman Wira, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Fama, Datuk Sharifah Hashim |
Sharifah berkata, hasil tanaman bergantung kepada sumber air, jika ia mencukupi maka tidak akan wujud sebarang masalah.
Bagaimanapun, katanya, pihak Fama sedia mengimport sayur-sayuran jika bekalan tempatan tidak mencukupi.
Namun begitu, tambahnya, dia yakin kenaikan harga tidak berlaku dan masalah bekalan sayur-sayuran mencukupi tidak timbul.
"Ramai usahawan pasang pam air di ladang untuk membolehkan bekalan air diterima sayur-sayuran cukup.
"Cuma mereka perlu diingatkan agar lebih peka dengan penggunaan air demi memastikan tanaman tidak terputus bekalan," katanya.
Sementara itu, usahawan nanas, Ahmad Awang berkata, cuaca panas menyebabkan pengeluaran nanas diusahakan di Felda Lubuk Merbau lebih kecil, manakala berat berkurangan.
Katanya, kualiti nanas menurun sedikit kerana saiz kecil, namun ia cepat masak dan lebih manis.
Malah, katanya, penjagaan tanaman berkenaan pada musim panas lebih sukar terutama dari segi kawalan air kerana ia perlu disiram lebih.
Bagaimanapun, katanya, hasil tanaman di ladang miliknya tidak terjejas memandangkan mereka masih mampu membekalkan air diperlukan nanas itu.
"Kualiti nanas akan meningkat bila hujan turun sebab ia jadi lebih besar, manakala grednya turut meningkat.
"Harga nanas yang saya jual masih kekal rendah dan murah, iaitu RM2 untuk setiap sebiji nanas gred A, diikuti RM1.60 (Gred B) dan RM1 (Gred C)," katanya.
Sumber: Sinar Harian