Cuaca Panas: Kerajaan Negeri Kedah Lepas Air Empangan Pedu

Empangan Pedu
ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mengesahkan takungan air di Empangan Pedu terpaksa dilepaskan ke semua kawasan sungai di seluruh negeri ini sebagai alternatif menangani kesan cuaca panas yang semakin teruk.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perkara itu mengambil masa sekurangan 72 jam atau selama tiga hari untuk memastikan air dapat memasuki semua saliran sungai.

“Berkenaan keadaan pada hari ini, Empangan Pedu dah mula salur air ke semua sungai seluruh Kedah dan pada 30 Mac nanti kita dapat alirkan air-air itu ke kawasan sawah.

“Selepas air memasuki kawasan sungai, kita harap ia dapat membantu mengurangkan haba panas. Kalau (air) masuk dalam bendang, mungkin boleh selesai sedikit masalah berkaitan petani,” katanya kepada media selepas merasmikan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) anjuran bersama Umno Kedah dan Universiti Teknologi Mara (UITM) di Dewan Sri Mentaloon, di sini, kelmarin.

Katanya, keputusan melepaskan air empangan dibuat setelah ambil kira pelbagai faktor termasuk paras bekalan air di beberapa empangan lain.

“Air di semua empangan cukup dan berada pada paras biasa, tak ada masalah. Kalau paras air bagi bulan Mac tahun ini berbanding Mac tahun lalu, hanya kurang sedikit saja. Tak ada masalah untuk kita alir air kepada pesawah-pesawah,” katanya.

Mengenai paras Empangan Padang Saga, Langkawi yang berkurangan sebanyak 20 peratus, beliau mengakui perkara itu tidak menjejaskan bekalan air di hotel-hotel.

“Kita akan lihat semula apa yang perlu kita buat dalam perkara ini,  mungkin perlu salur air lebih ke Langkawi,” katanya.

Mengulas mengenai taklimat bersama pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) berhubung isu ketiadaan bekalan air di beberapa kawasan, beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan tekanan air rendah.

“Saya minta pihak Sada sediakan kontraktor-kontraktor kerana mungkin kenderaan Sada tidak mencukupi untu hantar bekalan air ke kawasan yang lebih luas. Kita nak perbanyakan kontraktor untuk angkut air ke kawasan yang tiada bekalan.

“Saya dah minta juga semua Adun dan Ahli Parlimen supaya sewa lori di kawasan masing-masing untuk mengangkut tangki air yang disediakan oleh pihak Sada untuk dihantar ke kawasan berkenaan,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pendekatan itu lebih mudah dalam usaha bantu rakyat berbanding mengharap sepenuhnya kepada pihak Sada.

“Sada akan sediakan tangki besar atas lori dan lori itu akan hantar air ke kawasan-kawasan yang tiada bekalan. Perkara sama dah mula dibuat oleh Datuk Tajul Urus Mat Zain (Adun Tanjung Dawai). Banyak cara kita boleh bantu melalui sewa lori di kawasan kampung.

“Untuk sewa lori itu boleh guna peruntukan yang disediakan kepada ahli-ahli yang berhormat untuk membantu Sada. Peruntukan wakil rakyat dah ada, bayarlah sendiri. Tak kan nak Sada bayar lagi, itu lebih mudah sebab mereka sendiri yang arah pemandu lori untuk hantar air ke kawasan tertentu,” katanya.

Tambahnya, penduduk tidak perlu buat sebarang bayaran kepada mana-mana pihak kerana perkhidmatan itu diberikan secara percuma.

Pada perkembangan lain, Ahmad Bashah menasihatkan ibu bapa supaya tidak menjadikan masalah kewangan sebagai alasan menghalang kemasukan anak-anak ke Universiti Awam.

“Jangan fikir soal kewangan, apa yang penting dia (anak) sampai ke situ. Pengurusan universiti yang disediakan kerajaan lebih memahami keadaan, terutama sekali membabitkan pelajar-pelajar di luar bandar.

“Insya-ALLAH tak ada satu pun universiti yang menolak anak-anak ini dengan alasan kewangan. Mungkin kalau dah ditawar, ibu bapa mesti pastikan pelajar itu masuk universiti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian