Cuba Sembunyi Sebalik Almari Dan Siling, Tapi Gagal


SUNGAI PETANI – Cubaan melarikan diri termasuk bersembunyi di sebalik almari dan siling ketika serbuan dilakukan penguat kuasa ke atas pendatang asing tanpa izin (Pati) gagal apabila tujuh ditahan dalam Ops Ikrar di sini, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Kedah, Mohd Shahrir Khalil berkata, serbuan dilakukan pada jam 1.10 pagi di dua lokasi berasingan dekat Bandar Puteri Jaya Sungai Petani.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan kesemuanya adalah warga Vietnam.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di negara tanpa pas yang sah,” katanya.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di lokap imigresen Kementerian Dalam Negeri sebelum dihantar ke Depoh Imigresen di Belantik, Sik.

Sumber: Sinar Harian