ALOR SETAR - Polis menahan 23 orang termasuk seorang pelajar sebuah kolej swasta berusia 23 tahun kerana terbabit dadah dalam serbuan menerusi Op Sarang di sebuah kebun getah di Kampung Kubang Lerek, Pokok Sena, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, serbuan yang bermula 6 pagi hingga 1 tengah hari itu dijalankan sepasukan 10 anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Katanya, mereka yang ditahan berumur 23 hingga 51 tahun dan polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 17.53 gram bersama beberapa peralatan menghisap dadah.
"Pelajar yang merupakan penuntut di sebuah kolej swasta di Selangor memberitahu ini merupakan kali pertama dia ditahan sejak terbabit dengan dadah empat tahun lalu dan sedang menghabiskan cuti semester di kampungnya.
"Selain pelajar terbabit, polis turut menahan seorang lelaki berumur 30 tahun kerana mengedar dadah. Hasil pemeriksaan juga telah menemui dadah jenis heroin seberat 16 gram pada lelaki terbabit dan dipercayai dadah tersebut adalah untuk dijual di sekitar Pokok Sena," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Adzaman berkata, siasatan lanjut mendapati kebun getah berkenaan aktif dijadikan markas untuk melepaskan gian sejak dua minggu lalu selepas markas lama di kawasan berhampiran diserbu polis bulan lalu.
"Ini merupakan kali keempat serbuan dilakukan dan kita dapati ada tangkapan berulang dibuat yang melibatkan penagih yang ditahan," katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952 dan tempoh tahanan reman mereka bermula hari ini hingga Ahad ini. - Bernama