"Dah La Tak Bantu Usaha Hudud, Sibuk Pula Jadi Penghalang" - PAS

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari
“Hairan, setelah tidak membantu untuk memartabatkan undang-undang syariah, ada yang sibuk pula untuk menjadi penghalang.”

Demikian reaksi sinis Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari terhadap kenyataan terbaharu dibuat pihak tertentu mengenai hudud.

Menurutnya, di Kelantan Pas sudah mentadbir lebih 25 tahun dan memohon untuk diberikan hak dilaksanakan undang-undang Islam berkenaan di negeri itu namun ada pihak yang mendakwa suasana masih belum kondusif.

“Soalnya, bilakah tibanya suasana kondusif itu? Perjuangan kerajaan Kelantan ialah mengkanunkan undang-undang tersebut. Langkah pertama ialah dengan melakukan perubahan ke atas Akta 355 yang menyekat kuasa Mahkamah Syariah.

“Jika enakmen yang Kelantan luluskan ada kecacatan, perkatakan. Kenapa sibuk mempersoalkan tidak kondusifnya suasana untuk melaksanakan undang-undang syariah? Sedangkan boleh sahaja tenaga dihulur untuk turut membantu menjadikan suasana lebih kondusif,” katanya menerusi laman Facebook, semalam.

Dipercayai kenyataan beliau ini merujuk kepada kemas kini status Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyebut dahulu beliau pernah mengeluarkan pendapat agar syarat pelaksanaan hudud hendaklah diwujudkan dalam suasana yang kondusif.

Mohd Asri semalam mengulas soal sebuah video yang dimuat naik bertajuk ‘Pas, Ikatan Setuju Tangguh Hudud’ yang menunjukkan kenyataan pemimpin Pas dan Ikatan tentang hudud yang dirakam ketika sidang media pengumuman pembentukan blok politik ketiga, semalam.

Mengulas soal video tersebut, Ahmad Fadhli berkata, dalam video tersebut tiada kenyataan daripada pimpinan Pas bahawa hudud ditangguhkan.

“Bahkan ia hanya penegasan bahawa daripada pimpinan Pas bahawa hudud akan dilaksanakan dengan beransur-ansur. Bukannya (laksana) pagi esok selepas Pas memenangi pilihan raya umum.

“Jika perkataan tangguh itu keluar daripada pimpinan selain pimpinan Pas di dalam sidang media yang sama, tidak adil ia turut dilumurkan kepada Pas apatah lagi konteks perkataan itu ialah dalam rangka 'bersetuju dengan hudud sebagai seorang Muslim',” katanya.

Tambahnya, “adakah sebelum ini ada pimpinan Pas mendakwa bahawa hudud akan dilaksanakan serta merta jika Pas menang? Jika tidak, maka di atas butir mana tuan berhujah?”

Melalui video itu, Presiden Ikatan menyebut bahawa sebagai orang Islam kita perlu menerima hukum hudud namun dalam Islam, ada keadaan-keadaan tertentu di mana lebih elok jika ia ditangguhkan maka ia perlu ditangguhkan seketika kerana pada akhirnya nanti rakyat yang akan menentukan pelaksanaan tersebut.

Mohd Asri dalam kenyataan di Facebook itu berkata, beliau pernah menyebut ada hal lain yang lebih utama dibandingkan hudud bagi negara seperti Malaysia.

“Walaupun beberapa tahun lepas pandangan ini dibantah, Alhamdulillah hari ini pihak berkenaan akui. Alhamdulillah, zaman kekhilafan itu telah berakhir. Politik matang mengambil tempat.

“Semua tindakan lepas diakui salah dan 'tidak matang' di sisi agama. Perlembagaan diakui dan dihormati. Bahkan lebih jauh dari itu dinyatakan 'Islam tidak menggalakkan kita menukar pemimpin'.

“Walaupun ungkapan yang akhir itu saya rasa sangat perlukan perincian dan huraian yang lebih. Tidak boleh ditelan begitu sahaja. Namun, kita akui bahawa perubahan yang besar telah berlaku dalam parti politik,” katanya.

Sumber: Sinar Harian