DAP Perlekeh Kemampuan PAS Mahu Wujud Blok Pembangkang Baru

IBARAT langsung tidak beri muka, pemimpin de facto Pakatan Harapan, Lim Guan Eng terus menghentam pengumuman PAS pada Rabu lalu yang mahu menubuhkan sebuah blok pembangkang baharu pada 16 Mac ini.

Dengan angkuh, Setiausaha Agung DAP itu membandingkan keupayaan parti Islam tersebut memerintah Kelantan sejak 1990 sehingga kini yang pada anggapannya langsung tidak membawa sebarang perubahan kepada rakyat.

Komen ‘panas’ beliau itu seperti memerah limau ke luka sudah pasti mengguris hati tokoh-tokoh PAS kecuali beberapa kerat pemimpin tertentu dalam parti tersebut sendiri yang diketahui amat pro-Pakatan Harapan.

Menurut Guan Eng, pembentukan pakatan baharu pembangkang oleh PAS yang bakal disertai beberapa parti kecil tidak akan membawa sebarang makna jika parti itu sendiri gagal dalam membawa perubahan kepada negara ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dengan nada sinis berkata, ia adalah hak mereka (PAS) untuk membentuk pakatan baharu pembangkang namun ingin tahu sama ada ia akan menjadi inklusif atau eksklusif.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mempersoalkan sama ada kepimpinan PAS sekarang sudah mampu memberikan tadbir urus yang cekap dan kekal tegas dalam usaha membanteras masalah rasuah yang didakwa konon serius.

“Ia tidak akan menjadi bermakna jika mereka gagal untuk membawa perubahan kepada rakyat memandangkan apa yang mereka lakukan di Kelantan di mana mereka tidak dapat menyediakan tadbir urus yang baik, “katanya.

PAS mengakui tindakan untuk menubuhkan blok ketiga pembangkang selain Pakatan Harapan dan sebelum itu Pakatan Rakyat (kerjasama PAS dan PKR di Selangor) adalah kehendak kepimpinan serta ahli parti tersebut.

Untuk rekod, ketika desas-desus sebelum Pakatan Rakyat berkubur setelah dibubarkan oleh DAP sendiri, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan DAP jangan angkuh dan tunjuk pandai hendak mengajar PAS.

Ini kerana parti yang diasaskan pemerintah Singapura iaitu PAP selepas berpisah daripada Malaysia pada 1965 itu, baharu dua penggal memerintah Pulau Pinang sedangkan PAS pula sudah 26 tahun memerintah Kelantan.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata kerjasama baharu yang akan diumumkan kelak adalah demi mengukuhkan kedudukan pada Pilihan Raya Umum serta dipersetujui peringkat parti dan akar umbi.

“Itu yang kita mahukan, dan kita bersetuju untuk bentuk satu blok pembangkang (dengan pelbagai parti politik selain tiga parti dalam Pakatan Harapan),” kata Idris yang dipetik oleh sebuah portal berita tempatan.

Ditanya mengenai penafian Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa ia akan menyertai PAS, jelas Idris segala keputusan berhubung kerjasama itu akan diumumkan PAS Pusat.

“Tak apalah, nanti kita dengar pengumuman daripada PAS Pusat minggu depan,” tambah Idris. Kerjasama politik itu katanya akan bergerak sebagai sebuah lagi perikatan politik selepas Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Abdul Kadir tampil segera pada hari sama menafikan bahawa parti itu akan menyertai PAS untuk menubuhkan satu gabungan baharu pembangkang seperti diuar-uarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Bekas menteri Kabinet itu juga menafikan berjumpa dengan pemimpin PAS untuk membentuk satu gabungan sejurus Takiyuddin dilaporkan di lobi Parlimen berkata bahawa PAS bakal membentuk satu pakatan baharu. – Agensi