DAP Tak Payah Campur Urusan PAS - Khalil Abdul Hadi

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi
SHAH ALAM – DAP dinasihatkan supaya tidak mencampuri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan urusan Pas.

Ini kerana menurut Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi, parti itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dalam lanskap politik yang diatur dalam Pas.

“Kenapa nak masuk campur urusan Pas. Itu hal Pas. Bukan hal mereka (DAP).

“Pas bebas membuat pilihan untuk memilih kerjasama dengan mana-mana parti,” katanya ketika dihubungi media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang mendakwa tindakan Pas membentuk kerjasama politik dengan sebuah parti politik membuktikan parti Islam itu tidak boleh bersendirian dalam menghadapi PRU14 akan datang.

Menurut Anthony, Pas sudah sedar kesilapannya ‘menceraikan’ Pakatan Rakyat sebelum ini dan perlu mencari sekutu baharu yang boleh beri kelebihan kepada mereka.

Khalil dalam pada itu turut menyifatkan kenyataan Anthony dikeluarkan berikutan rasa terdesak DAP ke atas blok politik baharu yang bakal dibentuk oleh Pas.

“Mereka rasa ia satu ancaman kerana blok yang mahu dibentuk oleh Pas ini merupakan blok yang akan diterima oleh rakyat.

“Ia menunjukkan blok yang dibentuk DAP,PKR dan Parti Amanah Negara tersisih dan tidak mendapat tempat dihati rakyat,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian