Datuk Terlajak Laris Tak Mahu "Gedik" Lagi, Mahu Tampil Macho

Boss No.1 D'Herbs, Datuk Aliff Syukri
RAJA kosmetik dan pengasas produk kosmetik terkenal D’herbs, Datuk Aliff Syukri mengaku beliau kini mahu mengubah imej dirinya untuk tampil lebih "macho" dan serius di dalam setiap iklan bagi memasarkan produknya.

Menurut Aliff, beliau berbuat demikian bagi mencipta kelainan menerusi strategi pemasaran baru untuk melangkah ke tahap perniagaan yang lebih mega berbanding sekarang.

“Dari sudut perniagaan, saya tidak mahu untuk terus tampil dengan gimik seperti dahulu. Umur juga hampir mencecah 30.

“Dan saya mahu tampil dengan personaliti baharu yang menampakkan gaya yang lebih macho serta berpakaian korporat”

“Sebenarnya, saya selalu memikirkan untuk melancarkan strategi baru untuk perniagaan saya. Saya mahu produk saya menjadi nama besar di persada perniagaan.

“Tak mahu dilabel sebagai tin kosong, banyak bercakap tetapi tidak laku,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau juga mengakui tentang gimiknya sebelum ini yang seolah-olah berimej "gedik" yang menjadi strategi pemasarannya di kaca televisyen sering mengundang keseronokan tetapi lama-kelamaan ia mengundang perasaan malu.

“Sebelum ini saya berasa seronok dengan iklan yang ‘menggedik’ kerana bagi saya itu yang mendapat perhatian, tetapi kini saya mahu tampil dengan imej baharu.

“Ini kerana lama-lama ia tentu mengundang malu. Lebih-lebih lagi saya mempunyai isteri dan anak-anak,” katanya. – Kedahnews.com