Penasihat DAP, Lim Kit Siang |
KUALA LUMPUR – DAP mendakwa idea untuk menumbangkan kerajaan melalui pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mewujudkan `deklarasi rakyat’ pada 4 Mac lalu bukan datang daripada parti itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebaliknya menuduh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sekutu-sekutunya yang mengemukakan idea berkenaan.
“Saya boleh mengesahkan bahawa inisiatif `deklarasi rakyat’ datang daripada Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang bagaimanapun mendakwa, persoalan sama ada Mahathir menggunakan pembangkang dan pemimpin masyarakat demi kepentingannya tidak timbul.
“Ia bukan persoalan siapa menggunakan siapa tetapi mencapai kesepakatan untuk menyelamatkan Malaysia,” dakwanya lagi.
Mahathir bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 Mac lalu duduk semeja dengan pemimpin Pakatan Harapan bagi mengumumkan `deklarasi rakyat’
Ramai melihat Mahathir dan kumpulan penentang dalaman UMNO dipergunakan oleh Pakatan Harapan yang didominasi parti DAP untuk menjatuhkan UMNO dari dalam.
Segelintir pihak pula menggangap Pakatan Harapan dipergunakan oleh Mahathir dan sekutunya demi mencapai cita-cita peribadinya menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang baharu. – Kedahnews.com