Deklarasi Tun M Hanya Sia-Sia, Adenan Satem Senada Dengan Abdul Hadi

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem
KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem senada dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa 'Deklarasi Rakyat' yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan menjadi satu langkah yang sia-sia.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, pengisytiharan itu telah dihasilkan oleh kumpulan yang dahulunya pernah menjadi 'musuh besar' antara satu sama lain.

"Ia akan menjadi usaha sia-sia dan saya terkejut kerana Tun Mahathir membenarkan dirinya diperalatkan.

"Wan Azizah berkata mereka akan menggunakan semua itu untuk membebaskan Anwar. Saya rasa ia sangat ironik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya parti itu di PBB cawangan Kemena di Bintulu pada Rabu.

Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang dilaporkan berkata deklarasi itu boleh ditafsirkan sebagai pengakuan tidak langsung bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi mangsa politik.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Sebelum itu, beberapa tokoh politik termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mendakwa langkah Tun Dr Mahathir itu adalah sia-sia, senada dengan kenyataan Adenan.

"Ya sia-sialah. Senang sebut sia-sia. Dan mesti ada kemunasabahan dia," kata Abdul Hadi mengulas mengenai deklarasi Tun Dr Mahathir itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Adenan mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, Datuk Talib Zulpilip dan Adun Kemena, Datuk Dr Stephen Rundi akan mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya negeri akan datang.

Selain itu Adenan berkata beliau akan mengumumkan semua calon Barisan Nasional sebelum akhir bulan ini. -Kedahnews.com