Dihamun "Stupid", Anggota Trafik Dipindahkan Ke Jabatan Lain


Susulan dari insiden seorang anggota polis trafik wanita marah pada seorang pengadu dalam kejadian berlaku pada 13 Mac baru-baru ini, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung kes tersebut.

Pihak tersebut mengesahkan bahawa kejadian terbabit berlaku kira-kira pukul 6 petang pada Ahad, di kaunter pejabat pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Subang Jaya mengesahkan bahawa ia telah berlaku pada 13/03/2016 (Ahad) jam lebih kurang 6.00 petang bertempat di kaunter pejabat pertanyaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor”, tulis kenyataan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari dalam kenyataan itu menambah, sementara sementara siasatan berhubung insiden tersebut dijalankan, arahan pertukaran dalaman terhadap pegawai itu telah dibuat dengan serta merta.

“Sementara siasatan sedang dijalankan, arahan pertukaran dalaman terhadap anggota polis wanita telah dibuat dengan serta merta (tugas pentadbiran) dan tidak lagi berurusan di barisan hadapan.

“Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah memberi jaminan bahawa siasatan dalaman akan menyiasat dari segala aspek sebelum membuat keputusan selanjutnya,”  tulis Mohamad Azlin.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat sebelum ini, dipercayai pengadu telah memulakan provokasi dengan mengatakan pegawai wanita itu ‘bodoh’ menyebabkan dia menghentak meja sewaktu berurusan dengan mereka.

Sementara itu, ramai di kalangan netizen turut mendesak supaya pengadu dan individu yang merakam video berkenaan diambil tindakan tegas ekoran sikap biadap mereka menghina penjawat awam sewenang-wenangnya. -Kedahnews.com