Sumber Facebook Dr Mohamad Khir |
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo 'dibebaskan' dari penjara dan kini menjalani hukuman parol untuk dua bulan terakhir hukuman yang dijadualkan bermula semalam.
Menurut sumber, Ahli Lembaga Parol yang bermesyuarat semalam telah bersetuju meluluskan permohonan peguam bekas Menteri Besar Selangor itu selepas beliau menjalani hukuman di Penjara Kajang selama enam bulan.
Sistem parol bermaksud banduan akan menjalani baki hukuman di luar penjara di bawah pengawasan pegawai Parol untuk tinggal bersama keluarga.
Mohamad Khir sebelum ini disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.
Mahkamah Persekutuan pada 29 September tahun lalu mengekalkan hukuman 12 bulan penjara sabitan terhadap Dr Mohamad Khir.
Mohamad Khir yang juga bekas Adun Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007. -Kedahnews.com