Dr Mahathir LetakJawatan Sebagai Pengerusi Proton, 3 Jawatan Lain

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan perletakan empat jawatan serentak membabitkan posisinya di Proton Holdings, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).

Menerusi satu siaran akhbar dari pejabat beliau di Putrajaya, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi di Proton Holdings berkuatkuasa semalam.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa surat perletakan jawatan tersebut telah pun diserahkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom, Dato Seri Syed Faisal Albar, semalam.

Selain itu, Dr Mahathir turut melepaskan jawatan beliau sebagai Canselor UTP, serta dua lagi jawatan sebagai Penasihat kepada dua agensi kerajaan, LADA dan TIDA.

Keputusan perletakan jawatan tersebut difahamkan telah dimaklum kepada pihak bertanggungjawab.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh siaran akhbar berkenaan. -Kedahnews.com
SIARAN AKHBAR

Tun Dr Mahathir bin Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton Holdings, berkuatkuasa 30 Mac 2016. Surat perletakan jawatan telah dihantar kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Dato Seri Syed Faisal Albar semalam.

Dr Mahathir juga melepaskan jawatan beliau sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas, juga berkuatkuasa 30 Mac 2016. Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Rektor UTP Datuk Abdul Rahim Hashim.

Tun Dr Mahathir juga telah meletakkan jawatan sebagai penasihat kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA). Ketua Setiausaha kepada Kerajaan telah dimaklumkan tentang peletakan jawatan tersebut.

Pejabat Dr Mahathir bin Mohamad
Putrajaya
31 Mac 2016