"Saya kenal 'tangan hitam' itu."
Demikian ulas Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengenai dakwaan ada tangan hitam yang mencampuri isu pengurusan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).
Menurut Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, individu tersebut bukan orang di dalam Kafa.
"Apa yang boleh saya katakan 'tangan hitam' itu bukan dalam kalangan Kafa," katanya kepada mstar Online pada Sabtu.
Vida berkata isu 'tangan hitam' itu sudah lama membelenggu pasukan iaitu sebelum beliau menaja skuad Kijang.
"Sebenarnya masalah ini sudah lama berlaku. Beberapa pemain ada bertemu dengan saya dan memaklumkan mengenai perkara ini.
"Tapi saya tak sangka keadaan akan menjadi seteruk ini, sehingga ia mengganggu konsentrasi pemain. Jadi Kafa perlu tangani masalah ini dengan segera," katanya.
Walaupun mengenali individu itu, Vida mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan nama individu tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan 'rumah tangga' Kafa.
"Tak payahlah saya dedahkan, biarlah Kafa selesaikan dan siasat perkara ini," katanya.
Sebelum ini sebuah akhbar melaporkan wujud tangan hitam yang mencampuri urusan pentadbiran skuad Kijang itu.
Kewujudan individu tersebut menyebabkan pemain tidak selesa dan menjadi punca kepada persembahan hambar yang dipamerkan mereka sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini.
Namun, pada malam Jumaat, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menafikan wujud 'tangan ghaib' tidak berkelayakan yang campur tangan operasi persatuan itu hingga menyebabkan prestasi pasukan hambar.
Annuar sebaliknya berkata, prestasi merudum pasukan hingga tersingkir daripada saingan merebut Piala FA adalah angkara pemain sendiri.
Katanya, jika benar wujud individu begitu, ia seharusnya dibawa ke pengetahuan pengurusan tertinggi untuk dibincangkan, bukan menerusi media.
Sumber: mStar