DUN Sarawak Bubar 11 April, Tarikh PRN Ditentukan SPR


KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ditetapkan bakal dibubar pada tarikh 11 April bagi memberi laluan untuk diadakan pilihan raya negeri (PRN) ke-11 di negeri tersebut.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang akan menerajui Barisan Nasional (BN) Sarawak buat pertama kalinya dalam PRN membuat pengumuman tentang pembubaran itu sebentar tadi kira-kira jam 2 petang di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

"Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, telah bersetuju bagi pembubaran itu," umum Adenan kepada wakil-wakil media yang hadir membuat liputan.

Adenan sebelum itu dilaporkan telah menghadap Yang Dipertua Negeri di Astana.

Pengisytiharan pembubaran itu yang telah ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri difahamkan akan diserah kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar .

Mohamad Asfia kemudiannya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang diberi kuasa menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan pengundian bagi siri PRN kali ini.

Menurut Klausa 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN. -Kedahnews.com