El Nino: Alor Setar Tersenarai Dalam 6 Kawasan Gelombang Haba

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Sebanyak enam kawasan di Malaysia telah mencapai atau melebihi paras ambang gelombang haba setakat Rabu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata kawasan terlibat ialah Chuping, Perlis; Alor Setar, Kedah; Ipoh dan Lubuk Merbau, Perak serta Batu Embun dan Temerloh, Pahang.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sehingga bila keadaan itu akan berterusan.

"Cuaca panas yang dirasai pada ketika ini adalah berpunca daripada fenomena El Nino kuat. El Nino merupakan keragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap dalam tempoh dua hingga tujuh tahun.

"Keadaan cuaca panas ini boleh mencetuskan gelombang haba, iaitu situasi yang membawa risiko kesihatan hipetermia atau strok haba dan dehidrasi,"katanya.|

Beliau berkata petunjuk bagi paras ambang gelombang haba di negara ini adalah apabila suhu tertinggi harian sesuatu tempat mencapai 35 darjah Celsius untuk lima hari berturut-turut dan melebihi dua darjah Celcius daripada purata jangka panjang suhu maksimum.

Paras ambang gelombang haba juga dikesan apabila suhu tertinggi harian mencapai atau melebihi 37 darjah Celcius untuk tempoh tiga hari berturut-turut bagi kawasan berkenaan, katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar dan minum lebih banyak air dan merujuk kepada pakar kesihatan sekiranya mengalami masalah strok haba.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi pada 8 Mac lepas, cuaca panas berikutan fenomena El Nino yang dialami sekarang diramal kembali normal pada Jun. -Bernama