El Nino: MTUC Mahu Majikan Sediakan Air Minuman Mencukupi

Gambar Hiasan
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan supaya menyediakan dengan secukupnya kemudahan bekalan air minuman di lokasi yang selesa dan mudah dilihat pekerja dalam keadaan cuaca panas sekarang berikutan fenomena El Nino.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Setiausaha Agung MTUC A Balasubramaniam berkata penyediakan bekalan air yang mencukupi adalah penting bagi mengelak komplikasi kesihatan akibat dehidrarasi yang boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan dan produktiviti pekerja.

“Majikan perlu menyediakan air minuman dan cawan pakai buang yang banyak di tempat yang selesa dan mudah dilihat, terutamanya bagi pekerja di lapangan.

“Mereka juga perlu menugaskan seorang pekerja berpengetahuan dalam penyakit berkaitan haba di tempat kerja untuk menentukan jadual kerja/rehat yang bersesuaian,” katanya kepada Bernama.

Balasubramaniam menggesa majikan supaya menyediakan perkhidmatan perubatan di tempat kerja untuk memberi respons tanpa lengah kepada penyakit berkaitan haba dan memberi rawatan kecemasan.

“Sekiranya kerja berat tidak dapat dielak semasa gelombang panas sekarang, majikan boleh mengubah kitaran kerja/rehat bagi meningkatkan jumlah waktu rehat,” katanya.

Berikutan pola fenomena El Nino bulan ini, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah taburan hujan yang berkurangan. – BERNAMA