Keadaan cuaca yang lebih selesa iaitu agak mendung dengan suhu sekitar 34°C membolehkan nelayan tasik Idris Hassan,46, turun menangkap ikan di Tasik Timah Tasoh semalam. - Foto BERNAMA |
PADANG BESAR – Cuaca panas akibat fenomena El Nino tidak menjejaskan hasil tangkapan nelayan ikan air tawar yang mencari rezeki di Empangan Timah Tasoh di sini.
Hasil tangkapan mereka sebaliknya bertambah kerana banyak ikan berkumpul di kawasan atau lubuk tertentu apabila paras air susut.
Seorang nelayan, Idris Hassan, 46, berkata cuaca panas ketika ini sudah sebati dalam kehidupan nelayan seperti beliau.
“Suhu panas terik yang agak luar biasa ketika ini tidak menghalang saya turun ke empangan setiap hari untuk menangkap ikan.
Hasil yang diperoleh tolak tepi…inilah hakikat kerja nelayan, ada masa lumayan, ada masa tiada langsung,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di Empangan Timah Tasoh, semalam.
Menurut Idris, beliau menggunakan pukat biasanya memperolehi 40 hingga 50 kilogram ikan antaranya ikan lampam, tilapia dan puyu sehari tetapi sejak dua minggu lepas hasil tangkapan lebih 50 kilogram sehari.
“Saya dan kawan-kawan bagaimanapun sentiasa berdoa agar hujan turun. Dalam cuaca amat panas sekarang kami juga perlu menjaga kesihatan.
Sebelum ini kami keluar pukul 7 pagi dan pulang pukul 6 petang tetapi sejak minggu lepas kami pulang seawal pukul 3 petang kerana tidak tahan dengan cuaca panas,” kata Idris.
Bagi pengusaha ikan pekasam di Empangan Timah Tasoh, Rokiah Hashim, 62, cuaca panas yang melanda negara sejak akhir tahun lepas tidak menjejaskan bekalannya.
Katanya beliau mendapat bekalan ikan ini daripada nelayan di sini (Empangan Timah Tasoh) sebanyak 30 kilogram sehari dan tidak pernah kurang untuk diproses menjadi pekasam. – BERNAMA