"Emporium Ajaib" Ada Lebih 300,000 Macam-Macam Barang


Kaki palsu, patung Spiderman bersaiz manusia - itu hanya sebahagian daripada ratusan ribu barangan yang ditinggalkan atas rangkaian pengangkutan di London.

Gambar berikut menunjukkan antara 300,000 barangan yang ditinggalkan di atas bas serta kereta api di ibu kota itu tahun lalu, malah dikatakan rekod tertinggi kejadian seumpama itu.

Bukan saja yang pelik, malah ribuan tablet, payung dan dompet juga diserahkan kepada pejabat barangan hilang Transport for London (TFL) yang sering digelar ‘emporium ajaib’ oleh pengurusnya, Paul Cowan.


Selain sekitar 150 telefon bimbit yang dibawa masuk setiap hari, pejabat itu pernah juga menerima permaidani bersaiz besar, rambut palsu digunakan hakim dan pelbagai peralatan muzik termasuk gendang.

Tahun lalu, 22 peratus daripada 302,714 barangan diserahkan berjaya dipulangkan kepada pemiliknya termasuk sampul surat mengandungi £15,000 (RM92,000) dan sebalang abu mayat yang disimpan di pejabat itu sejak tujuh tahun sebelumnya.


Cowan yang menganggap kerjanya ‘yang terbaik di dunia’ berkata, barangan hilang di rangkaian pengangkutan bandar itu semakin bertambah dengan penumpang yang semakin ramai.

“Memang menakjubkan, jumlah dan jenis barangan yang hilang. Setiap hari kami menerima lebih 1,200 barangan. Sukar dipercayai. Semakin ramai melakukan perjalanan ke London atau di dalam bandar ini, semakin banyaklah barangan yang hilang.


“Setiap barang dibawa ke sini mempunyai kisahnya sendiri. Payung, buku dan dokumen serta pas perjalanan memang perkara biasa, namun ada juga barangan yang membuatkan kami tertanya-tanya kenapa pemiliknya membawanya ke sana ke mari,” katanya.

“Pasu abu mayat, wang tunai, peralatan muzik seperti gitar, seruling dan set gendang malah mungkin kami juga boleh mewujudkan kumpulan muzik sendiri,” katanya.



Semua barangan diserahkan kepada TFL akan disimpan di dalam bangunan tiga tingkat berhampiran stesen kereta api Baker Street dan disimpan tiga bulan sebelum didermakan, dilelong atau dikitar semula.

Setiap tahun, ribuan payung, pakaian dan beg didermakan kepada badan kebajikan seperti Palang Merah Britain, Scope dan Salvation Army.

“Paling memuaskan apabila barangan berjaya dipulangkan kepada pemiliknya. Melihat senyuman mereka sungguh menggembirakan saya,” katanya.


Sumber: myMetro