Fesyen Luar Biasa, Pakaian Diperbuat Dari Kertas


Seorang pereka fesyen dari Russia mencuri perhatian dunia fesyen apabila menggunakan kertas putih sebagai medium utama bagi mencipta gaun perkahwinan yang menakjubkan.

Asya Kozina, yang menetap dan berkerja di Tosno, sebuah bandar di rantau Leningrad Oblast, St Petersburg, Russia menghabiskan masa selama sembilan tahun untuk mencipta gaun perkahwinan yang rumit.

Segalanya berbaloi apabila rekaannya yang memberi tumpuan pada gaun perkahwinan tradisi Kazakhstan meraih populariti.

Asya memberitahu media tempatan, dia melihat rekaannya sebagai satu `tafsiran seni’ pada pakaian perkahwinan Kazakhstan, yang terkenal dengan rekaan yang rumit dan hiasan kepala yang mewah.

Menurutnya, dia menghabiskan masa di Borat untuk belajar dengan mendalam mengenai gaun dan adat perkahwinan penduduk Kazakhstan sebelum memulakan projek berkenaan.

Hasilnya, dia berjaya mencipta lima gaun perkahwinan gaya Kazakhstan yang diperagakan pada pertunjukan dan pameran fesyen di Almaty di selatan Kazakhstan.

“Kertas adalah material yang sangat cantik tetapi sering diabaikan, malah sangat sukar bekerja dengannya. Saya mengambil masa berbulan untuk menyiapkan satu hasil seni ini,” kata Asya.

Mengikut gaya sebenar gaun perkahwinan tradisional yang lazimnya dibuat daripada material termasuk renda, satin dan sutera - gaun ciptaan Asya menampilkan skirt besar dengan corak Cloze yang terperinci.
Riben besar diletakkan di atas pinggang manakala hiasan bunga menyerikan rekaan gaun berkenaan.

Kebanyakan pakaian yang direkanya, Asya cenderung memilih gaya korset tergantung dengan bahagian bawah seperti meringue.

Asya juga mencipta hiasan kepala yang menarik yang dipakai bersama gaun rekaannya.

Stesen televisyen Russia, NTV melaporkan Asya turut gemar mencipta anak patung dan kuda daripada kadbod.

Malah, dia juga meraih perhatian selepas mencipta rambut palsu daripada kertas.

Gaya rambut liar wanita dan lelaki era Victoria menyaksikan dia menggunakan lembaran kertas yang direka secara berasingan, digulung secara berhati-hati dan dipotong kerinting.

“Sejarah rambut palsu sentiasa mempesonakan saya, terutama era Baroque.

“Ia adalah demi menghargai keindahan seni. Ia tidak masuk akal atau praktikal tetapi amat indah.

“Dalam kes ini, kertas membantu menyerlahkan bentuk utama dan tidak obses dengan butiran yang tidak perlu,” katanya.

Projek dari Kazakhstan adalah rentetan projek yang sama dia lakukan dalam mewujudkan satu siri gaun perkahwinan kertas gaya Mongolia.

Sumber: myMetro