Gadis, Anak Dara Diharamkan Miliki Telefon Bimbit


GUJARAT - Beberapa perkampungan di barat India, Gujarat melarang gadis dan wanita bujang memiliki telefon bimbit sendiri kerana peranti itu dikatakan akan mengganggu pembelajaran mereka.

Beberapa perkampungan di Mehsana dan Banaskantha di Gujarat telah mengenakan larangan itu beberapa minggu lalu dan lebih banyak kampung akan menyertai kempen itu, kata Presiden Majlis Daerah Mehsana,  Ranjit Singh Thakor.

Menurut Ranjit, larangan itu dikenakan kepada gadis yang berumur di bawah  18 tahun dan wanita yang tidak berkahwin.

" Gadis tidak akan belajar dengan baik jika mereka mempunyai telefon bimbit dan boleh terjerumus dengan situasi yang tidak baik.

"Biarlah mereka belajar, berkahwin, maka mereka boleh mendapatkan telefon mereka sendiri. Sehingga itu, mereka boleh menggunakan telefon ayah mereka di rumah, jika perlu," katanya dipetik Reuters.

Di daerah Mehsana, pesalah akan dikenakan denda kira-kira 2,100 rupee (RM 129) dan pemberi maklumat akan diberi ganjaran.

Bagaimanapun pelajar perempuan di universiti  dikecualikan daripada larangan itu, kerana mereka mungkin perlu menggunakan telefon untuk pengajian mereka.

Ini bukan kali pertama beberapa kampung di India mengenakan larangan seperti ini.


Sebelum itu, kampung di timur Bihar turut mengenakan larangan yang sama beberapa tahun lalu dan berkata telefon bimbit akan mengurangkan nilai suasana sosial yang boleh menyebabkan wanita muda lari mengikut kekasih.

Namun larangan tersebut di bantah aktivis dan menyifatkan ia sebagai kawalan kebebasan yang boleh membahayakan wanita untuk mendapatkan perlindungan.

India adalah pasaran telefon bimbit mudah alih kedua terbesar di dunia dengan pengguna lebih daripada 1 bilion.

Pengharaman di kampung-kampung di Gujarat datang selepas Perdana Menteri Narendra Modi memberikan inisiatif digital yang bertujuan untuk menghubungkan kawasan luar bandar dengan rangkaian Internet berkelajuan tinggi.

Sumber: Sinar Harian