GAMBAR: Rumah Terbalik, Kaki Terpaksa Berpijak Di Siling


Fenomena rumah terbalik kini menerjah Taiwan apabila sebuah rumah tiga tingkat dibina dengan semua kelengkapannya turut dalam keadaan terbalik.

Semua barangan di dalam rumah itu, tidak kiralah sinki dan katil bertingkat, meja makan, bilik air malah tempat pendiang api dilekatkan pada siling rumah yang dibina dengan kos AS$600,000 (RM2.5 juta) itu.



Rumah berwarna pastel di Huashan Creative Park, Taipei itu dibina sekumpulan arkitek Taiwan dan dibuka kepada ratusan pengunjung, hujung minggu lalu.

Pelancong mengambil kesempatan merakam gambar di dalam rumah itu, yang berkeluasan 300 meter persegi bagi ruang lantai, termasuk cuba meletakkan kasut ke dalam almari yang dilekatkan pada siling dan menyentuh pinggan makan di atas meja yang berada di atas kepala mereka.



Tarikan terbaru diilhamkan daripada rumah anak patung yang dibina sebagai sebahagian daripada satu pameran di Taiwan, juga mempunyai kereta yang dilekatkan ke siling.

Rumah yang mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dibina, dirancang dikekalkan di taman kreatif itu selama lima bulan sebelum ditutup pada 22 Julai.




Sumber: myMetro