Semalam, Kedahnews.com menyiarkan artikel mengenai Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, wira negara yang terkorban dalam insiden serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, yang berlaku kira-kira 3 tahun lalu.
Memetik dari tulisan seorang bekas wartawan, Syahril A Kadir, kami turut berkongsi hiba mengimbas kembali pengorbanan seorang pegawai PDRM yang terkorban nyawa, apatah lagi isteri dan anak-anaknya yang kini meneruskan hidup tanpa suami dan bapa.
Tidak lengkap bagai keluarga lain, namun itulah jalan kehidupan yang perlu ditempuhi Nor Aziah Nor bersama tiga zuriat yang diamanahkan Allahyarham Zulkifli padanya untuk dibesarkan hingga dewasa.
Syahril dalam posting terbaru memaklumkan bahawa salah seorang keluarga Allahyarham telah membaca nukilannya di Facebook dan tersentuh hati, lantas mengirimkan beberapa keping gambar terbaru Nor Aziah dan anak-anaknya.
Gambar terkini Nor Aziah dan anak-anaknya yang dikirim kepada Syahril. (gambar kredit: Syahril A Kadir) |
Lebih mengharukan, turut dikirim adalah sekeping gambar wira negara itu yang dikatakan kali terakhir dirakam sebelum Allahyarham diterbangkan ke Lahad Datu dalam misi mempertahankan kedaulatan tanahair.
Gambar terakhir yang dirakam sebelum Allahyarham ASP Zulkifli Mamat terbang ke Lahad Datu mempertahan kedaulatan negara. (gambar kredit: Syahril A Kadir) |
Sekali lagi, Kedahnews.com mengajak semua pembaca untuk menghadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Zulkifli, memohon kesejahteraan dan damai 'di sana', berterima kasih kepadanya atas pengorbanan yang mungkin kita semua tidak mampu lakukan.
Buat Nor Aziah dan anak-anak, teruskanlah berjuang dalam hidup dan semoga Allah SWT merahmati kalian atas segala jasa bakti serta pengorbanan merelakan pemergian insan yang begitu istimewa buat kami yang cintakan tanahair, Al-Fatihah. -Kedahnews.com
(gambar kredit: Syahril A Kadir) |