Geng Pondan Pulau Pinang Diberkas, Disyaki Samun Pelancong Asing

Gambar Hiasan
GEORGE TOWN – Lima lelaki yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita ditahan kerana disyaki menyamun seorang pelancong asing di Jalan Penang di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata golongan pondan itu adalah antara yang ditahan dalam operasi di Jalan Chulia kira-kira pukul 11 malam semalam.

“Dalam operasi itu, polis menahan 12 lelaki yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita termasuk lima yang disyaki terlibat dalam kejadian samun awal pagi Selasa itu,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata dalam kejadian samun itu, sekumpulan lima pondan menahan seorang pelancong lelaki yang baru keluar dari sebuah kedai serbaneka sebelum mengarahkan mangsa yang berusia 30-an menyerahkan wang tunai jika tidak mahu dia dicederakan.

Mior Faridalatrash berkata operasi dijalankan di kawasan itu selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai aktiviti lelaki yang berpakaian dan berkelakuan seperti perempuan kembali bertapak di situ.

Tujuh lagi lelaki termasuk seorang warga Indonesia berpakaian seperti wanita turut ditahan menurut Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996, katanya.

Beliau berkata lelaki Indonesia yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita itu juga didapati melanggar syarat pas lawatan sosial. – BERNAMA